KUCHING: Kawasan Ba’ Kelalan yang terkenal dengan tanah subur serta pengeluaran beras adan berpotensi besar muncul sebagai antara pemacu utama industri padi dan beras Sarawak, kata ADUN Ba’ Kelalan, Baru Bian.
Menurutnya, kawasan pedalaman utara Sarawak itu mempunyai kelebihan tersendiri dari segi ekosistem pertanian, keluasan tanah dan penghasilan varieti beras premium yang semakin mendapat permintaan.
“Menerusi penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak, kawasan seperti Ba’ Kelalan, Long Semadoh, Long Sukang, Long Luping dan Pa’ Berunut mampu membuktikan potensi besar sektor pertanian luar bandar sekiranya dibangunkan secara moden dan sistematik.
“Pertanian beras adan yang diusahakan masyarakat Lun Bawang perlu diperkasakan menerusi dasar dan sokongan lebih tersusun kerana mempunyai nilai komersial tinggi dan berpotensi menjadi antara produk premium negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut melihat kedudukan Ba’ Kelalan yang berhampiran ibu negara baharu Indonesia, Nusantara sebagai peluang strategik untuk Sarawak memperluas pasaran eksport beras tempatan.
“Kita perlu memanfaatkan kelebihan geografi ini dengan memastikan pengeluaran cekap, berkualiti tinggi dan mampu memenuhi permintaan pasaran.
“Penyelidikan dan pembangunan juga perlu diperkukuh bagi meningkatkan mutu pengeluaran serta memastikan petani Sarawak kekal kompetitif di pasaran tempatan dan antarabangsa,” tegasnya.
Selain itu, beliau berkata penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak merupakan langkah penting yang mampu mengubah landskap industri padi negeri secara menyeluruh termasuk memperkukuh keselamatan makanan serta meningkatkan pendapatan petani luar bandar.
“Kuasa dan fungsi lembaga tersebut termasuk pemberian lesen dan permit, pengurusan aktiviti komersial serta pembangunan dasar akan membolehkan sektor padi kita dibangunkan secara lebih strategik dan berkesan.
“Penubuhan ini amat tepat pada masanya bagi memastikan kepentingan petani tempatan terus dipelihara. Kita mahu melihat Sarawak muncul sebagai antara pengeluar beras utama negara dan pada masa yang sama memastikan komuniti petani tempatan mendapat manfaat,” tambahnya.

