Bakul makanan untuk OKU

KUCHING: Ekoran pandemik Covid-19, Jabatan Kebajikan Masyarakat menghulurkan sebanyak 25 sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sumbangan berbentuk barangan keperluan dinamakan bakul makanan tersebut dapat membantu golongan yang terjejas kerana tidak mempunyai pendapatan semasa pandemik Covid-19.

“Kita bukan sahaja memberi bantuan kepada OKU cacat penglihatan malah membantu OKU lain yang terjejas meraih pendapatan seperti penyanyi jalanan dan penjual tisu.

“Justeru, kita akan pastikan mereka dapat menikmati makanan dalam kehidupan seharian malah dapat memastikan makanan terhidang di atas meja,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian bakul makanan kepada warga OKU Cacat Penglihatan di Kuching di sini, pada Selasa.

SANTUNI… Fatimah menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang OKU di Kuching.

Fatimah juga menggesa kepada seluruh rakyat Sarawak untuk terus patuh akan arahan kerajaan bagi membendung wabak yang semakin menular.

“Jika kita melihat keadaan di Sarawak, negeri ini merekodkan kes positif Covid-19 di tangga yang paling rendah disebabkan pematuhan SOP serta disiplin tinggi.

“Justeru, kita berharap agar pandemik ini akan pulih seperti biasa dan kita dapat menjalani kehidupan seperti dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi OKU yang mempunyai anak kecil dan kekurangan lampin pakai buang atau susu, mereka boleh mengajukan perkara tersebut kepada Ahli Majlis Wanita Sarawak Raja Noor Raja Kamil.

“Ia perlu diperincikan dengan baik supaya anak mereka dapat menggunakan lampin pakai buang yang betul atau mendapatkan susu yang sesuai dengan usia,”katanya.

Mengulas mengenai atlet Parasukma Fatimah menjelaskan, kementeriannya akan berusaha untuk memberi elaun latihan kepada atlet tersebut walaupun kita berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Suara Sarawak