KUCHING: Balai Ringin FC meneruskan kemaraan dalam Piala YB Datuk Snowdan Lawan 2026 selepas menewaskan RAAF FC 2-0 pada aksi pusingan 16 terbaik di Kompleks Sukan Balai Ringin, semalam.
Kemenangan itu membolehkan skuad yang dibarisi majoriti pemain dari Kampung Melayu Balai Ringin berdepan Rayang Antlers pada aksi suku akhir di gelanggang sama, 25 Oktober ini, jam 2 petang.

Penasihat Balai Ringin FC, Mohamad Idris berkata, kemenangan tersebut hasil komitmen dan kerjasama seluruh pasukan yang berjaya mengekalkan disiplin permainan sepanjang perlawanan.
“Alhamdulillah, kita tidak menghadapi banyak masalah untuk mencatat kemenangan ini. Semuanya hasil kerja keras dan kerjasama pemain yang sentiasa memberikan komitmen terbaik,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Menurutnya, sokongan padu masyarakat Kampung Melayu Balai Ringin turut menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk meneruskan cabaran dalam kejohanan berkenaan.
Mohamad Idris berkata, tumpuan pasukan kini beralih kepada persiapan menghadapi Rayang Antlers yang dijangka memberikan cabaran lebih sengit dalam perebutan tempat ke separuh akhir.

“Kita berharap pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan, selain terus mempamerkan kesungguhan dan semangat berpasukan bagi memperoleh keputusan positif serta berjaya melangkah ke separuh akhir,” katanya.
Piala YB Datuk Snowdan Lawan 2026 yang julung kali dianjurkan itu menghimpunkan 29 pasukan, dengan perlawanan berlangsung setiap Ahad sejak 13 September lalu.
Kejohanan tersebut menawarkan hadiah utama RM3,000 berserta piala dan pingat kepada juara, manakala naib juara menerima RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.
Aksi final dijadual berlangsung pada 15 November depan di Kompleks Sukan Balai Ringin.




