KUCHING: Seorang banduan ditambah hukuman penjara apabila dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana memiliki sebilah kerambit tanpa tujuan yang sah.
Wan Abdul Rahman, 30, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, dan Letupan, dan Senjata Berbahaya 1958, kerana memiliki sebilah kerambit di tempat awam tanpa tujuan yang sah.
Dia melakukan kesalahan itu di dalam kereta di tepi jalan berdekatan simpang Kampung Bedup, Jalan Sri Aman-Serian, sekitar 2.30 petang, 3 September 2025.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan anggota polis menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva lalu menahan tertuduh.
Semasa pemeriksaan menjumpai sebilah kerambit yang diselitkan pada bahagian penutup cahaya matahari di atas bumbung kereta terbabit.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh melakukan kesalahan membawa senjata berbahaya di tempat awam tanpa alasan munasabah.
Difahamkan, tertuduh masih menjalani hukuman penjara 13 bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Difahamkan juga, tertuduh juga mempunyai kesalahan dadah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan kes dikendalikan Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



