“Demam panas yang berlarutan lebih daripada 10 hari rupa-rupanya petanda kanser darah.”
Demikian perkongsian pejuang kanser, Katijah Bujang, 51, ketika ditemu bual Suara Sarawak di Tebingan Sungai Kuching sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 baru-baru ini.
Suri rumah dari Kuching serta ibu kepada enam orang anak ini tidak pernah menyangka simptom demam dan sakit di bahagian belakang kepala serta belakang badan yang pada awalnya dianggap biasa, akhirnya membawa kepada diagnosis yang mengubah seluruh hidupnya.
Sebelum itu, kehidupannya sama seperti ibu-ibu lain, sibuk mengurus rumah tangga dan memastikan keperluan anak-anak sentiasa terjaga.
Namun pada 2016, rutin hariannya terganggu apabila beliau mengalami demam panas yang berlarutan lebih daripada 10 hari.
Beliau turut mengalami sakit di bahagian belakang kepala dan belakang badan.
Pada awalnya, beliau menyangka keadaan itu sekadar demam panas biasa dan keletihan, namun naluri seorang ibu mendorongnya mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik.
Pemeriksaan dan ujian darah dilakukan pada hari yang sama, dan keputusannya mengejutkan doktor.
Tanpa berlengah, beliau dihantar ke hospital dengan ambulans dari Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setibanya di jabatan kecemasan, Katijah terpaksa menunggu dari petang hingga lewat malam untuk menjalani beberapa ujian tambahan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Seminggu kemudian, beliau menerima panggilan telefon daripada pihak hospital untuk datang semula ke hospital bersama-sama suami.
Ketika itulah beliau menerima berita yang amat berat apabila disahkan menghidap kanser darah, iaitu leukemia jenis AML-5.
“Petang itu juga saya terus dimasukkan ke wad dan keesokan harinya rawatan bermula.
Masa itu saya masih terkejut dan takut.
“Bagaimana harus saya menyampaikan berita itu kepada anak-anak yang pada masa itu sedang melanjutkan pelajaran di asrama dan yang berada di rumah?
Namun saya tahu saya perlu kuat,” ujar Katijah sambil mengimbau detik awal diagnosis.
Beliau kemudiannya menjalani rawatan kemoterapi intensif selama enam bulan.
Antara inisiatif rawatan lain ialah menjalani pemindahan sumsum tulang (bone marrow).
Namun, selepas ujian dilakukan terhadap adik-beradik yang lain, didapati mereka bukan penderma yang sesuai.
Oleh itu, pilihan lain ialah meneruskan rawatan kemoterapi dengan segera.
Sepanjang tempoh rawatan, setiap bulan beliau berada di wad sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu dan hanya pulang ke rumah sekiranya keadaannya agak stabil.
Beliau melalui pelbagai prosedur, termasuk ujian pengambilan sampel sumsum tulang sebanyak enam kali bagi memantau sama ada sel kanser masih aktif atau tidak.
Prosedur tersebut amat menyakitkan dan tidak selesa.
Namun, perjalanan rawatan itu bukan mudah.
Rambutnya gugur sehingga botak, tubuhnya menjadi lemah, berat badan menurun dengan ketara, keadaan fizikal berubah secara drastik, selera makan hilang dan emosinya sering terganggu.
Bagi Katijah, cabaran paling besar bukan sekadar kesakitan fi zikal, tetapi tekanan emosi yang datang tanpa diduga.
“Ada masa saya rasa sangat putus asa, namun sokongan suami, anak-anak, adik-beradik, keluarga dan sahabat handai yang sentiasa berada di samping saya ketika saya menerima rawatan amat bermakna.
“Saya memikirkan anak-anak yang sedang membesar dan takut jika mereka kehilangan seorang ibu.
Apa yang akan terjadi kepada mereka?” katanya dengan nada sebak.
Dalam keadaan itu, beliau pernah berpesan kepada adik-beradik agar menjaga anak-anaknya sekiranya berlaku perkara buruk.
Namun, satu kesedaran yang mendalam telah mengubah semangatnya.
Semangat seorang ibu itu akhirnya membuahkan hasil.
Rawatan kemoterapi yang dijalaninya menunjukkan perkembangan positif.
Selepas tujuh bulan berjuang, sel kanser semakin berkurangan.
Kini, hampir sepuluh tahun berlalu dan Katijah masih bebas daripada kanser.
Anak-anak yang dahulu menjadi sumber kekuatannya kini semuanya telah menamatkan pengajian.
“Dahulu, ketika saya sakit, harapan saya cuma satu, iaitu dapat menghadiri hari graduasi anak-anak.
Sekarang, saya sudah capai hampir semuanya.
Itulah hadiah paling besar dalam hidup saya,” ujarnya penuh kesyukuran.
Selain sokongan keluarga, sahabat handai dan mereka yang berada di sekelilingnya, Katijah turut memperoleh kekuatan melalui penyertaannya dalam kumpulan sokongan pesakit kanser menerusi pelibatan beliau dengan Pertubuhan Untuk Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN), iaitu persatuan yang ditubuhkan pada 2017 oleh pesakit kanser, bekas pesakit kanser, penjaga pesakit serta ahli profesional yang prihatin.
“Apabila kita bercakap dengan pesakit lain, kita yang pernah berada dalam situasi yang sama dapat memahami perasaan mereka.
Memang bukan mudah, tetapi kita harus sentiasa kuat dan positif,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi bekas pesakit kanser dari Sarawak, Annie Magdalene Mading, 68, turut melalui perjalanan getir melawan kanser.
Wanita Bidayuh dari Serian itu didiagnosis menghidap kanser kolon tahap tiga pada 2010 selepas menyedari terdapat darah semasa membuang air besar.
Pemeriksaan lanjut melalui kolonoskopi mengesahkan penyakit tersebut, dan pada malam yang sama beliau terus menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan.
“Apabila doktor memberitahu saya menghidap kanser, saya terdiam.
Namun, saya tidak mahu membuang masa menangis lama-lama.
Saya terus memikirkan rawatan yang perlu dilakukan,” katanya.
Selepas pembedahan, Annie mengambil masa seminggu untuk pulih di hospital sebelum dibenarkan pulang.
Namun, rawatan susulan tetap diperlukan.
Beliau menjalani kemoterapi dan radioterapi secara serentak sepanjang 2011, melibatkan enam kitaran kemoterapi dan 28 sesi radioterapi.
“Rawatan memang meletihkan, badan rasa lemah, tetapi setiap kali saya rasa ingin mengalah, saya teringat keluarga yang sentiasa ada bersama-sama saya.
“Saya merupakan ibu kepada tiga cahaya mata, mempunyai enam orang cucu dan seorang cicit,” katanya sambil mengakui keluargalah sumber kekuatannya untuk terus tabah melawan penyakit.
Sokongan daripada ibu, adik-beradik dan suami menjadi tunjang kekuatannya.
Mereka sentiasa menemani beliau ke hospital, membantu mengurus keperluan harian serta memberikan semangat ketika emosinya menurun.
Kini, lebih sedekad selepas menamatkan rawatan aktif, Annie bersyukur kerana kesihatannya semakin baik.
Beliau juga aktif menyertai kumpulan sokongan pesakit kanser, iaitu SCAN, sejak lapan tahun lalu.
“Dalam kumpulan sokongan, kami saling berkongsi cerita.
Dari situ saya sedar ramai lagi yang melalui ujian lebih berat dan hal itu menjadikan saya lebih kuat,” katanya.
Annie menasihatkan pesakit yang baharu didiagnosis agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa mematuhi nasihat doktor. “Ikut nasihat doktor dan habiskan rawatan.
Jangan campurkan ubat hospital dengan produk lain tanpa bertanya doktor terlebih dahulu,” pesannya kepada semua pesakit kanser.
Kisah Katijah dan Annie membuktikan kanser bukan penamat kehidupan.
Walaupun perjalanan rawatan penuh dengan cabaran fizikal dan emosi, semangat untuk terus hidup, sokongan keluarga serta dorongan daripada komuniti mampu memberikan kekuatan luar biasa.
“Jangan mengasingkan diri.
Carilah rakan-rakan yang memahami perjuangan kita.
Sokongan itu sangat penting,” katanya mengakhiri perbualan.
Sesungguhnya, perjuangan melawan kanser bukan hanya tentang rawatan perubatan, tetapi juga tentang kekuatan dalaman, harapan dan kasih sayang.
Kisah mereka menjadi inspirasi di sebalik kesakitan dan ketakutan, masih ada cahaya yang menanti di penghujung perjalanan.
Hari Kanser Sedunia disambut pada 4 Februari setiap tahun di seluruh dunia bagi meningkatkan kesedaran serta pendidikan mengenai pencegahan kanser, di samping memberikan sokongan padu kepada mereka yang sedang berjuang melawan penyakit ini.
Tema tahun ini, Bersatu dalam Keunikan (United by Unique), menekankan kepentingan kesatuan masyarakat dalam memberikan sokongan kepada semua yang sedang berjuang melawan kanser.
Sokongan moral, kasih sayang dan doa daripada keluarga serta masyarakat merupakan kekuatan yang amat bernilai buat pesakit kanser.
Hal ini demikian kerana pesakit tidak harus disisihkan atau dipandang rendah, kerana stigma sebegini hanya akan menimbulkan ketakutan dan menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan.
Sebaliknya, masyarakat perlu menggantikan ketakutan dengan kefahaman, sokongan, kasih sayang dan kesabaran, terutamanya daripada keluarga, sama ada dari segi emosi mahupun fizikal sepanjang perjalanan rawatan.
Sambutan Hari Kanser Sedunia di Sarawak pada tahun ini turut diserikan dengan Majlis Pelancaran Penataan Cahaya Jambatan Darul Hana, air pancut dan DUN Sarawak, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Inisiatif anjuran SCAN dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) ini bukan sekadar simbolik, malah menjadi tanda solidariti kepada pesakit kanser dan bekas pesakit kanser.
Turut hadir ialah Penasihat SCAN, Datin Dayang Mariani Abang Zain; Presiden SCAN, Chris Cheng; dan Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Maklumat, Sharul Sulaiman, yang mewakili Pengarah DBKU.



