LINGGA: Kerajaan sekali lagi mengulangi kesediaannya untuk menyokong inisiatif membangunkan semula pasar lama Lingga sebagai warisan sejarah di Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan, bagaimanapun ia bergantung kepada kehendak rakyat. “Pasar lama Lingga memiliki keunikan yang harus dikekalkan, yang mungkin boleh ditransformasi seperti Siniawan.
“Itu hak orang di sini. Kalau mereka mahu membangunkannya semula, kita akan bantu dari segi kelulusan selain menjayakan urusan pembangunan semula,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak pembangunan tebingan Lingga di sini, kelmarin.

Adun Lingga Simoi Peri sebelum ini pernah mengusulkan cadangan mengenai naik taraf pasar lama Lingga kepada Kerajaan Sarawak untuk menjadikan tempat ini sebagai tapak warisan di Sarawak.
Menurut sejarah, pasar lama Lingga wujud sejak 1938 dan membuktikan sejarah Brooke yang tidak akan pernah hilang.
Selain keunikan binaan pasarnya, Lingga mempunyai satu tiang belian setinggi lebih 10 meter yang dibina oleh Rajah Brooke pada 1854.
Lingga suatu ketika dahulu pernah dijadikan sebagai kubu pentadbiran oleh Rajah Brooke. Seorang penghuni yang juga peniaga di situ Lee Seiw Moi, 69 bersetuju sekiranya terdapat cadangan membangun atau menaik taraf pasar lama Lingga dengan tidak menghilangkan keunikannya.
“Saya tinggal di sini sudah lama beberapa generasi, lebih 60 tahun. “Saya menyambut baik usaha kerajaan kerana kawasan di sini akan menjadi tumpuan selepas siapnya Tebingan Lingga dan Jalan Sebuyau-Lingga. “Ini peluang baik kepada generasi masa depan,” jelasnya.
Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis dan Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai.


