KUCHING: Pembangunan bangunan baharu Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Kota Padawan, Batu 10 penting bagi menampung peningkatan keperluan perkhidmatan kesihatan susulan pertumbuhan pesat kawasan tersebut yang menyaksikan jumlah penduduk terus bertambah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Ir. Lo Khere Chiang berkata, kawasan perkhidmatan klinik itu kini meliputi lebih 50 taman perumahan dan lima kampung dengan jumlah penduduk melebihi 30,000 orang.
“Pembinaan bangunan tambahan ini bukan sekadar menyediakan ruang baharu, malah meningkatkan keupayaan klinik untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih selesa, teratur dan berkualiti kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Tambahan Baharu KKIA Kota Padawan, Batu 10, hari ini.
Bangunan tambahan tersebut dibina menerusi Projek Pembesaran Fasa Kedua melibatkan kos RM300,000 dan kini siap sepenuhnya.

Kemudahan tambahan berkenaan menyediakan ruang baharu termasuk bilik mesyuarat, stor fail, bilik pemeriksaan kesihatan wanita serta klinik pergigian bagi menampung peningkatan keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk setempat.
Bangunan berukuran 56 kaki x 28 kaki itu turut dilengkapi sistem penyaman udara, selain melibatkan kerja pembinaan semula longkang, penyediaan tempat letak kereta serta mengecat semula bahagian luar bangunan sedia ada.
Lo berkata, pembangunan kemudahan tersebut meneruskan usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan yang telah melalui beberapa fasa pembangunan sejak klinik itu mula beroperasi pada 1994.
Beliau menambah, kemudahan yang disediakan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat, khususnya bagi mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan awal, penjagaan antenatal dan selepas bersalin, imunisasi kanak-kanak, pendidikan kesihatan serta pemeriksaan berkala.



