KUCHING: Sarawak mahu membangunkan industri hortikulturnya ke tahap yang lebih tinggi memandangkan negeri ini amat kaya dengan keindahan flora dan fauna.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau mahu melihat industri tersebut mencapai tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja untuk tujuan hiburan tetapi juga mengeksport tumbuh-tumbuhan serta bunga sebagai komoditi.
“Usaha ini pasti akan dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030.

“Ini kerana industri hortikultur juga berkait rapat dengan PCDS 2030 yang merangkumi keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan perasmian pada Ekspo Taman Antarabangsa Borneo Sarawak 2023 (BIGEXS 2023) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.
“Tambahan pula, bunga amat penting dan boleh digunakan untuk mengindahkan negara kita.
Ia juga mengingatkan saya kepada pengalaman ketika berada di Arab Saudi pada minggu lepas.
“Bandar-bandar di sana sangat indah, ditanam dengan pelbagai bunga di sepanjang jalan. Jeddah sendiri cantik dengan bunga yang berwarna warni.
Malah begitu juga di Madinah dan Mekah, kerajaan memberi penekanan kepada hortikultur.
“Jadi, saya nak kongsi dengan dua Datuk Bandar, iaitu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), tolong cantikkan jalan raya kita di Kuching dengan tumbuh-tumbuhan dan bunga-bunga yang cantik berwarna-warni.
Jika anda tidak mempunyai wang, beritahu saya,” tegasnya.



