KUCHING: Syarikat penerbangan tempatan diseru membuat penyelidikan dan membangunkan penerbangan khas bagi penerbangan antarabangsa serta domestik dari atau ke Malaysia Timur.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Tiong King Sing berkata, syarikat perbangan tempatan termasuk AirAsia perlu meneliti cadangan tersebut kerana pelancong asing seperti pelancong China suka melancong dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan.
Menurutnya, harga tiket penerbangan yang agak tinggi juga akan menyebabkan pelancong membatalkan hasrat mereka untuk berkunjung ke Malaysia.
“Diharapkan dengan adanya penerbangan khas ini, ia dapat membantu mempromosikan Malaysia dengan lebih efektif, khususnya bagi Sabah dan Sarawak yang kaya dengan warisan budaya serta alam semula jadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Melihat kepada kepentingan industri penerbangan dalam sektor pelancongan, beliau menyeru agar kakitangan perkhidmatan penerbangan supaya melayan penumpang dengan mesra dan berbudi bahasa, seterusnya membantu mempromosikan pembangunan industri pelancongan negara.
“Begitu juga dengan para pengusaha hotel atau apa sahaja jenis penginapan, perlu bersikap mesra dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.
“Dengan menawarkan perkhidmatan yang baik, barulah kita dapat menarik lebih ramai pelancong asing yang berpotensi untuk tinggal di kawasan masingmasing,” ujarnya.
Menjelas mengenai inisiatif AirAsia yang memperkenalkan tiket penerbangan percuma sehingga lima juta tiket ke destinasi dalam dan luar negara, Tiong memaklumkan beliau mengalu-alukan inisiatif tersebut.
“Selain menjadi pemain utama di dalam menyokong industri pelancongan negara kita selama ini, AirAsia juga memainkan peranan penting dalam menghubungkan Malaysia dengan rangkaian penerbangan di Asean dan kawasan-kawasan lain,” ujarnya.
Tempahan tiket dibuka dari 10 hingga 19 Febuari untuk tempoh perjalanan adalah sekitar 1 Mac hingga 10 Disember 2023.



