ARTIKEL

Abang Johari bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Kilang IBS LCDA CTR Technology Sdn. Bhd di sini, hari ini. | Foto oleh Ramidi Subari

Bangunkan projek perumahan guna kaedah IBS – Abang Johari 

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek-projek perumahan khususnya di kawasan luar bandar Sarawak akan dibangunkan menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS), yang dikeluarkan oleh Kilang IBS milik LCDA CTR Technology Sdn. Bhd (LCTSB). 

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata antaranya melibatkan projek perumahan campuran di Jalan Depo, Samariang dan skim pembesaran kampung luar bandar di Kabong dan Asajaya.

“Dengan adanya sistem IBS yang dikeluarkan oleh LCDA CTR, kita dapat membangunkan rumah dengan lebih cepat.

“Kita sudah mempunyai satu sistem yang mesra alam sekitar dan juga rumah yang berkualiti, yang kita boleh bangunkan sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Kilang IBS LCDA CTR Technology Sdn. Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier merangkap Pengerusi LCDA Real Estate Sdn. Bhd, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Justeru, Abang Johari mencadangkan supaya Kilang IBS berkenaan turut dibangunkan di kawasan pertengahan Sarawak supaya dapat membekalkan komponen ke kawasan sekitar khususnya di Limbang, Lawas, Miri dan Bintulu.

“Kita sedang membangunkan Jepak di Bintulu, sudah tentu kita akan menggunapakai sistem ini supaya rumah lebih tahan dan cantik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sasaran membina 1,500 hingga 2,000 unit rumah juga dapat dicapai menerusi gabungan sistem IBS serta sistem lain.

Sementara itu, Abang Johari berkata Kilang IBS LCDA CTR Technology Sdn. Bhd dengan nilai pelaburan sebanyak RM29 juta, boleh mengeluarkan bentuk rumah yang lengkap dengan komponen seperti bilik air dan sebagainya.

Selain itu, katanya ia tidak menghasilkan sisa binaan dan komponennya juga sudah dilengkapi dengan sistem elektrik.

LCDA CTR Technology Sdn. Bhd adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terbentuk melalui kerjasama LCDA Real Estate Sdn. Bhd (LRESB) dan CTR Prefab Technology Sdn. Bhd (CTR). 

LRESB adalah anak Syarikat LCDA, manakala CTR adalah satu syarikat IBS terkemuka yang telah terlibat aktif dengan sektor IBS sejak 14 tahun lalu. 

LCTSB memiliki persijilan ISO-9001:2015 dan CIDB G7. 

LCTSB ditubuhkan bertujuan untuk mempromosi dan mempertingkatkan penggunaan IBS bagi pembangunan projek-projek hartanah dalam Kumpulan Syarikat LCDA dan Sarawak. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU