ARTIKEL

BANTU… Anggota bomba melakukan khidmat pemindahan mangsa banjir di Kampung Olen dan Kampung Selanjat, Ulu Sebauh awal pagi tadi.

Banjir kilat landa dua kampung di Ulu Sebauh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Banjir kilat dilaporkan berlaku di Kampung Olen dan Kampung Selanjat, Ulu Sebauh awal pagi tadi susulan hujan berterusan akibat Monsun Timur Laut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu memaklumkan bahawa rondaan pemantauan dilaksanakan sekitar jam 3.40 pagi oleh sepasukan sembilan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PPgB) Francis Aceh Angai.

“Pasukan operasi digerakkan dengan kekuatan sebuah lori dan sebuah bot bagi memantau kawasan berisiko serta melaksanakan pemindahan mangsa selepas mendapati paras air meningkat seperti yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Jurucakap itu menambah, pemindahan mangsa dilakukan menggunakan bot dan lori ke PPS Dewan Suarah Bintulu.

Selain itu, katanya, seramai 18 mangsa turut berpindah menggunakan kenderaan persendirian ke PPS berkenaan sebelum operasi pemindahan diteruskan oleh pihak bomba.

“Seramai 12 mangsa dari Rumah Panjang (RH) Olen dan RH Selanjat kemudiannya dipindahkan menggunakan lori Hicom, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Suarah Bintulu seramai 41 orang.

“Daripada jumlah tersebut, RH Olen Ulu Sebauh melibatkan enam lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan, manakala RH Selanjat Ulu Sebauh melibatkan seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan empat kanak-kanak lelaki.

“Sehingga jam 2 petang tadi, paras air dilaporkan masih menunjukkan trend menaik dengan keadaan cuaca mendung, dan operasi pemantauan serta pemindahan mangsa masih diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU