KUCHING: MBKS melancarkan bank sampah bagi menggalakkan penjagaan kebersihan dalam kalangan masyarakat dengan mengitar semula sampah, sekali gus melestarikan alam semula jadi.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, idea di sebalik langkah itu diinspirasikan dari Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-IndonesiaMalaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
“Matlamat kita adalah untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa dalam kalangan komuniti dengan mengambil pendekatan mesra alam dan bertanggungjawab.
“Besar harapan agar amalan pengurusan sisa melalui pendidikan, pemerkasaan sosial, kerjasama, dan teknologi dapat dipupuk,” katanya berucap pada Karnival Komuniti Kampung Kenyalang 2023 di Dewan Persatuan Komuniti Kenyalang Park, di sini, semalam.
Menurutnya, inisiatif ini dapat menggalakkan masyarakat menangani masalah pengurusan sisa domestik tidak sistematik dari rumah.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pusat beli-belah, pasar raya, kawasan perumahan dan pengeluar berkenaan pengurusan sisa di bank sampah.
Hong Seng mendedahkan MBKS melaksanakan program alam sekitar lain seperti gerakan “Tidak Kepada Polisterina” dan kempen
“Tidak Kepada Penyedut Minuman Plastik” di seluruh pasar dan pusat penjaja.
“Kita komited menjadikan MBKS sebagai bandar yang bukan sahaja mempunyai tarikan makanan tradisional, malah juga tumpuan kepada kelestarian alam sekitar.
“Selaras dengan reputasi antarabangsa sebagai bandar yang sihat, sebuah bandar pelancongan, sebuah Bandar Kreatif UNESCO Gastronomi dan Bandar Kraf Dunia,” jelasnya.
Bagi menggalakkan amalan kitar semula sampah, MBKS juga melaksanakan Kempen Membeli Beg Kitar Semula.
“Seperti pelaksanaan bank sampah, kempen ini juga memberi ganjaran barangan isi rumah mengikut mata ganjaran yang diperoleh melalui penyertaan mereka, sekali gus membawa manfaat kepada alam sekitar secara keseluruhannya,” katanya.

