Bantu belia miliki rumah

KUCHING: Perancangan pembinaan rumah mampu milik di Buntal-Bako, Sungai Maong-Segedup, Gita Baru, Kampung Senari dan Lundu termasuk Sematan yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kelmarin mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak.

Rata-rata penduduk yang mendiami kawasan berkenaan ketika ditemui Suara Sarawak menyokong penuh usaha Kerajaan Sarawak itu.

Peniaga di Kampung Gita Baru, Rohana Jali, 55, berkata pelaksanaan cadangan tersebut merupakan satu usaha yang baik.

“Bagi saya, perancangan pembinaan rumah mampu milik ini merupakan idea yang bagus.

“Ia dapat membantu golongan muda yang menghadapi masalah untuk membeli rumah sendiri di Kuching ini,” katanya.

Begitu juga dengan Siti Hamkah, 50, yang menyokong penuh cadangan itu kerana dapat membantu keluarga khasnya anak-anaknya.

“Seperti yang kita ketahui, harga rumah semakin hari semak in meningkat. Jadi, susah untuk kami sekeluarga mendapatkan rumah baharu untuk keluarga yang besar,” katanya.

Harga rumah yang begitu tinggi kini jelasnya, menyebabkan semakin ramai golongan muda belum mampu memiliki rumah sendiri walaupun sudah menginjak umur 25 tahun.

Sementara itu, pelajar dari Lundu, Irene Amil, 22, menjelaskan, rumah mampu milik itu sesuai untuk golongan muda bagi mengurangkan beban mereka.

“Bagi saya, pembinaan ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan dan sangat membantu dari segi kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Dengan adanya perumahan mampu milik ini jelasnya, lebih ramai golongan muda mulai membuat perancangan untuk membeli rumah sendiri.

“Melihat kesan jangka panjang, lebih ramai golongan muda akan mampu mempunyai rumah sendiri walaupun dengan gaji minimum RM2,000 sebulan.

“Sekiranya terdapat perumahan dibina di kawasan terpilih itu, maka ia akan membawa kepada pembangunan secara tidak langsung,” kata Irene lagi.

Ezatul Firdaus, 22, dari Sematan pula menjelaskan, usaha Kerajaan Sarawak membangunkan kawasan pesisiran sememangnya membantu belia.

“Harapan saya agar pembinaan rumah mampu milik ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Ekonomi belia dapat dibantu kerana rumah mampu milik membolehkan belia fokus kepada aset lain seperti kereta dan sebagainya,” tambahnya.

Dennis Tygang, 22, berharap kualiti alam sekitar dikekalkan ketika pembinaan rumah mampu milik walaupun melibatkan kos rendah.

“Perumahan mampu milik ini penyelesaian terbaik mengurangkan kadar bebanan rakyat khasnya belia di Sarawak.

“Jadi, saya rasa ia tindakan yang bagus oleh Ketua Menteri dalam menjaga kebajikan rakyat negeri ini,” katanya.