KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) akan mengkaji semula kerugian yang dialami mangsa pada musim banjir bagi memastikan mereka mendapat bantuan yang sewajarnya.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, isu-isu yang dikemukakan oleh mangsa banjir akan dibincang bersama-sama dengan Jawatankuasa Bencana yang akan dilaksanakan selepas tamatnya bencana itu nanti.
“Isu-isu yang dibawa oleh mangsa akan dibincangkan, saya tidak boleh berkata apa-apa keputusannya memandangkan ia perlu dibincang bersama-sama dengan Jawatankuasa Bencana terlebih dahulu.
“Sebelum ini, secara langsung kita beri bantuan dari segi kerosakan misalnya kepada tanaman padi, kita tidak kata pampasan bila banjir, tapi ini ialah musibah, musibah bukan pampasan, tetapi bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di Kuching, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu mengenai rintihan mangsa banjir yang mendakwa mengalami kerugian harta benda akibat banjir yang sedang berlaku di Sarawak.
Jelas Fatimah, sebelum ini pihaknya telah memajukan isu terbabit kepada pihak persekutuan memandangkan perkara tersebut bukan saja meliputi orang Sarawak malah seluruh rakyat Malaysia turut terkesan.
Beliau dalam pada itu, yakin bahawa usul terbabit akan dikaji semula memandangkan keadaan situasi banjir tampak berbeza setiap tahun.
Sementara katanya, terdapat empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka merangkumi tiga PPS di Kuching dan satu di kawasan Bau.
Setakat Jumaat, terdapat 224 mangsa telah dipindahkan ke PPS yang telah dibuka.



