ARTIKEL

Bantu pekebun sawit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi sentiasa prihatin dan berusaha bagi membantu pekebun kecil sawit persendirian termasuk di Sarawak untuk jangka masa panjang.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memperuntukkan sebanyak RM100 juta di bawah Insentif Program Tanam Semula Sawit. “Peruntukan ini telah disediakan di bawah insentif tersebut yang akan ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian.

“Ini bagi meningkatkan kadar penanaman semula sawit dan seterusnya meningkatkan purata hasil buah tandan segar (BTS) nasional dan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Bagi memastikan skim dan bantuan yang disediakan dalam Sektor Agrikomoditi difahami dan dimanfaatkan secara optimum, maklumat berkenaan skim dan bantuan yang disediakan di bawah kementeriannya bagi sektor sawit akan disebarkan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan beberapa kaedah.

“Antaranya promosi dan penyampaian taklimat di lapangan yang disampaikan secara langsung oleh Pegawai Tunjuk Ajar dan Khidmat Nasihat Sawit (TUNAS) khususnya di 12 cawangan MPOB di Sarawak.

“Ini termasuklah penyebaran melalui program seperti Trek Agrikomoditi, program anjuran Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dan program-program lain anjuran agensi berkaitan dengan pegawai MPOB dalam menyampaikan maklumat berkaitan kepada pekebunpekebun kecil sawit.

“Seterusnya, promosi secara konvensional seperti poster di pusatpusat jualan sawit di 18 pusat timbang KPSM di Sarawak dan penyebaran maklumat melalui sistem atas talian dan media sosial seperti laman sesawang MPOB, aplikasi Facebook dan WhatsApp,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Sektor Getah pula, kerajaan dalam pembentangan belanjawan lalu juga telah bersetuju untuk menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dari RM2.70 ke RM3.00 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.

“Dalam masa sama, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan projek rintis penggunaan gas stimulan yang berupaya untuk meningkatkan pengeluaran getah sebanyak tiga kali ganda sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dan pengeluaran getah negara.

“Di samping itu, kementerian melalui Jabatan Pertanian Sarawak juga telah mengambil beberapa pendekatan seperti menganjurkan Agriculture Outreach Programme (AgriCop) yang bertujuan untuk meningkatkan hasil pengeluaran golongan sasar dan menjalankan kaedah lain serta membuat hebahan berkaitan skim atau bantuan yang disediakan,” ujarnya.

Sehubungan itu, bagi sektor lada, kaedah penyampaian maklumat oleh kementeriannya melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) adalah seperti aktiviti pemindahan teknologi dan latihan in-situ di lapangan serta sesi seminar dan dialog secara berterusan.

LAIN-LAIN BERITA

Capai sasaran tingkatkan pendapatan komuniti tani

KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) serta jabatan dan agensi di bawahnya diseru supaya terus komited dan berdedikasi menyampaikan khidmat kepada rakyat

Lebih 123,000 syarikat berdaftar dengan CIDB

KUALA PERLIS, Perlis: Sejumlah 132,579 syarikat telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) setakat Januari lepas. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick,

Sasaran perdagangan, pelaburan dapat dicapai

KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis sasaran perdagangan dan pelaburan yang ditetapkan untuk tahun ini dapat dicapai meskipun penyusutan nilai semasa ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),

Ekonomi hijau S’wak jadi contoh baik global

KUCHING: Sarawak menunjukkan contoh baik kepada seluruh dunia dalam membangunkan ekonomi hijau, kata Pengerusi Majlis Perdagangan dan Pelaburan Komanwel (CEIC), Lord Jonathan Peter Marland. Lord

BERITA TERBARU

Lebih 360,000 ngusung Muzium Budaya Borneo

KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) ngerikod lebih 360,000 pengusung sepemanjai taun 2023. Menteri Dagang Temuai, Industri Kreatif enggau Seni Pemerindang (MTCP), Datuk Seri Abdul Karim