KOTA SAMARAHAN: Penduduk sekitar Kota Samarahan diajak untuk memeriahkan Roombark Takes Samarahan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Februari bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Acara yang berlangsung di pekarangan parkir Aiman Mall itu melibatkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan makanan, minuman, pakaian dan banyak lagi.
Selain itu, turut diadakan konsert artis terkenal tanah air iaitu Azlan and The Typewriter pada 10 Februari dan beberapa artis tempatan.
Pengurus Roombark Event, Khairuzie Bolhassan berkata, ia bukan sahaja program menarik tetapi dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi aktiviti jualan.
“Selain jualan, kami juga menyediakan ruang untuk aktiviti menarik yang boleh dilakukan pengunjung bersamasama keluarga termasuk stesen kreatif, rumah hantu dan banyak lagi.
“Makanan dan minuman dalam program ini dijual pada harga berpatutuan. Pengunjung boleh membuat pilihan sendiri nanti,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Tambahnya, program tersebut dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung kerana berlangsung semasa cuti umum sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Jadi ini salah satu tempat yang boleh dikunjungi oleh penduduk di sekitar Samarahan untuk mengisi masa cuti mereka.
“Justeru, kami mengharapkan sokongan penduduk setempat dan kawasan sekitarnya untuk merancakkan, sekali gus memeriahkan acara kita ini,” ujarnya.
Acara tersebut dijangka dirasmikan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang Datuk Idris Buang sekitar jam 2.00 petang esok (Sabtu).

