ARTIKEL

PIC: ALIF NONI

Bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di Bintulu dibayar secara berperingkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di Bintulu dibayar secara berperingkat mengikut proses pengesahan pemohon oleh agensi berkaitan.

ADUN Tanjong Batu, Jonny Pang Leong Ming menjelaskan, lebih 90 peratus mangsa yang ditempatkan di PPS sudah menerima bantuan tersebut.

“Ramai tanya; bila kerajaan akan bayar? Mereka perlu jelas bantuan ini hanya untuk satu keluarga satu bayaran RM1,000.

“Jika sebuah rumah ada enam permohonan, kerajaan hanya luluskan seorang penerima kerana ia berdasarkan unit kediaman, bukan individu,” katanya ketika sidang media khas di Bangunan DUN Sarawak, hari ini.

Menurutnya, kekeliruan timbul apabila sesetengah pemohon tidak memaklumkan penerimaan bantuan meskipun wang sudah dikreditkan ke akaun masing-masing.

“Bantuan tidak melalui pejabat wakil rakyat dan terus dimasukkan oleh pejabat daerah atau pejabat residen.

“Ada yang kata tidak pasti terima, namun selepas disemak sebenarnya bantuan sudah dimasukkan. Ini menimbulkan persepsi tidak tepat terhadap kerajaan,” jelasnya.

Katanya, mangsa yang tidak tinggal di PPS juga menerima bayaran secara berperingkat mengikut semakan kelayakan.

“Proses menjadi perlahan kerana banyak permohonan daripada sebuah rumah sedangkan hanya seorang layak menerima sumbangan tersebut.

“Rakyat perlu memahami konsep bantuan yang menekankan ketepatan maklumat bagi mengelak bayaran berganda,” katanya.

Beliau turut menjelaskan isu permohonan daripada penyewa rumah tidak layak kerana bantuan hanya diberikan kepada ketua isi rumah berdaftar.

Jelasnya, banjir besar awal Januari lalu adalah antara yang paling buruk melanda kawasan Bintulu dalam sejarah.

“Lebih 6,000 keluarga diluluskan untuk menerima bantuan RM1,000 dan pembayaran sedang berjalan.

“Jika pemohon yakin layak tetapi belum menerima, sila semak akaun bank atau rujuk pejabat daerah untuk pengesahan,” ujarnya.

Pang menegaskan pejabatnya sentiasa bersedia membantu kes-kes berasas yang memerlukan semakan lanjut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU