KUCHING: Sejumlah RM50,000 diperuntukkan DUN Satok kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No. 4 bagi membantu membaik pulih kemudahan kelas pintar yang rosak akibat guruh.
Pada 15 Oktober lalu, 17 daripada 36 kelas pintar di SJK Chung Hua No 4 (blok A, B dan C) dipanah petir sehingga menyebabkan berlaku kerosakan terhadap sistem rangkaian Internet dan kemudahan pintar lain di sekolah berkenaan.
“Saya harap, bantuan ini dapat memberi semangat kepada anakanak untuk teruskan semangat belajar menjadi orang berjaya, sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri pada masa akan datang,” kata ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki.
Beliau berkata demikian ketika mengagihkan angpau serta bantuan makanan kepada pelajar sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan SJK Chung Hua No. 4 di sini, semalam.
Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Rendah Cina Chung Hua Kuching No.1 hingga No.6 Datuk Jonathan Chai mendedahkan kos yang diperlukan bagi membaik pulih kerosakan mencecah RM150,000.

Dalam program yang sama, seramai 50 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua di sekitar kawasan ini menerima sumbangan bagi persediaan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Menurutnya, program anjuran SJK Chung Hua dengan sokongan pelbagai pihak merupakan inisiatif murni bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Syukur kerana kita dapat berkumpul dalam program yang penuh manfaat seperti ini.
Terima kasih kepada pihak yang berkaitan kerana menjayakan program ini,” katanya.
Menurutnya, sambutan perayaan merupakan salah satu cara yang berkesan untuk menyemarakkan kewarganegaraan rakyat yang berbilang kaum.
“Penglibatan kaum yang pelbagai dalam meraikan perayaan masyarakat lain mampu memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain.
“Menerusi pendekatan ini, kita pada masa sama dapat terus mengukuhkan hubungan seterusnya menerajui negeri ke arah yang lebih maju,” katanya.
Hadir sama Pengarah SJK Chung Hua No 1, 3, dan 4 Datuk Richard Wee Datuk Richard Wee; Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman dan tetamu kehormat yang lain.

