KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus hasil pendapatan negeri yang diraih Kerajaan Sarawak setakat ini telah disalurkan kepada rakyat menerusi program kebajikan dan pembangunan infrastruktur secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol menegaskan, tidak pernah Kerajaan Sarawak tidak ambil berat tentang keperluan rakyat.
“Nada-nada sumbang mengatakan Kerajaan Sarawak hanya tahu menambah pendapatan wilayah, tetapi tidak memperdulikan kebajikan rakyat Sarawak adalah pemikiran cetek dan sempit tentang apa yang berlaku di Sarawak.
“Hakikatnya, jika diselidik secara terperinci, lebih 50 peratus hasil pendapatan negeri yang diraih Kerajaan Sarawak setakat ini telah disalurkan ke arah kebajikan dan pembangunan infrastruktur rakyat secara menyeluruh, khususnya untuk menjamin keselesaan masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Kewangan Khas (BKK) Pelajar Sarawak Di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia yang disempurnakan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dekat sebuah hotel terkemuka di ibu negara, hari ini.
Jelasnya, antara bantuan yang sedang dilaksanakan ketika ini ialah Bantuan Kewangan Khas sebanyak RM1,200 setahun kepada pelajar anak Sarawak yang menuntut di semua universiti di seluruh Malaysia.
“Ini tidak termasuk bantuan lain kepada pelajar Sarawak dalam bentuk gajet bantuan pembelajaran seperti komputer riba dan baucar pembelian buku.
“Kerajaan Sarawak turut melaksanakan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) melibatkan bayaran tunai antara RM250 hingga RM800 seorang, yang memanfaatkan lebih 850,000 rakyat Sarawak dengan anggaran dana sebanyak RM450 juta,” ujarnya.
Abdullah menegaskan, kemampuan Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai bantuan kewangan berskala besar adalah hasil daripada kestabilan politik serta dasar ekonomi yang kukuh dan mampan.
Semua bantuan kewangan yang disalurkan bagi meringankan beban sara hidup rakyat Sarawak hanya dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal sebagai kerajaan yang stabil.
Menurutnya lagi, agenda dan dasar yang diterajui Premier Sarawak sentiasa memberi tumpuan ke arah mengukuhkan ekonomi negeri serta menambah pendapatan Sarawak secara mampan dan strategik.



