SIMUNJAN: Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 49 mangsa banjir di Simunjan merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan bagi meringankan beban rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan, Awla Dris berkata bantuan ini disalurkan melalui Pejabat Daerah Simunjan sebagai inisiatif kerajaan bagi meringankan beban mangsa.
Dalam masa sama, menurutnya, ia menyokong pemulihan pascabanjir.
“Setiap ketua isi rumah (KIR) menerima bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan asas mereka, yang bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan tetapi sebagai bentuk sokongan moral,” katanya dalam majlis ringkas di sini, semalam.
Tegasnya, ini manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat yang terjejas tidak dipinggirkan.
Sebanyak 49 KIR yang menerima BWI merupakan mereka yang terkesan akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Daerah Simunjan.
Majlis turut diselitkan dengan penyampaian Sijil Pelantikan Ketua Kaum yang dihadiri Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Simunjan.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Batang Sadong, Idris Ibrahim, dan Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak turut hadir sama.

