KUCHING: Gara-gara gagal mengawal emosi selepas mendakwa anaknya dikenakan kekerasan semasa perlawanan bola keranjang, seorang bapa bertindak menumbuk serta mengugut hendak membunuh seorang remaja lelaki.
Tindakan Thian, 44, bagaimanapun membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM3,300 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Thian mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menumbuk muka seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengeluarkan ugutan jenayah hendak membunuh mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah gelanggang bola keranjang di sebuah sekolah menengah di sini kira-kira jam 5.00 petang pada 3 Januari lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,300 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama. Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didenda RM3,000 atau penjara tujuh bulan.
Berdasarkan fakta kes, siasatan mendapati pada hari kejadian, pengadu yang sedang bermain bola keranjang telah dipegang dan dipeluk berulang kali oleh seorang pemain pasukan lawan.
Berasa tidak selesa dengan tindakan tersebut, pengadu bertindak bermain sedikit kasar bagi mengelak daripada terus dipegang dan dipeluk.
Namun, bapa kepada pemain berkenaan yang juga merupakan pemain senior tidak berpuas hati sebelum menyerang pengadu dengan menumbuk muka mangsa serta mengeluarkan kata-kata ugutan ‘kamu mau mati ka’.
Akibat kejadian itu, pengadu mengalami kecederaan lebam di muka dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Tindakan tertuduh turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

