SERIAN: Seorang lelaki mengambil kesempatan merogol anak buahnya ketika diminta menjaga mangsa di rumahnya, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis, kejadian berlaku apabila ibu mangsa yang juga kakak ipar suspek meminta bantuannya menjaga mangsa di rumah sementara dia berniaga di pasar Serian manakala ayah mangsa berada di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjaga adik mangsa yang dirawat di situ.

“Pada ketika itu, tiada sesiapa berada di rumah dan suspek telah mengambil kesempatan dengan mambawa mangsa ke dalam bilik tidur dan merogol mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Aswandy menambah suspek, 37, juga dipercayai telah mencabul mangsa semasa membawa kanak-kanak berusia tujuh tahun itu berkelah di Taman Rekreasi Ranchan pada Isnin lalu.

Beliau berkata semasa kejadian hanya mangsa bersama suspek sahaja tanpa ditemani oleh ahli keluarga yang lain.

“Ketika mandi di sungai, suspek ada memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa,” katanya sambil menambah mangsa bersekolah di sebuah sekolah rendah di pasar Serian.

Ekoran laporan polis yang dibuat ibu mangsa semalam, Aswandy berkata suspek telah ditangkap di rumahnya sekitar jam 7 malam pada hari sama.

Katanya suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Suara Sarawak