BINTULU: Keselamatan dan kesejahteraan mental murid perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak bagi memastikan sekolah kekal sebagai persekitaran selamat, kondusif dan bebas daripada gejala buli.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing berkata tanggungjawab melindungi murid bukan sahaja terletak pada pihak sekolah, malah memerlukan kerjasama erat ibu bapa, guru dan komuniti.

Menurutnya, gejala buli sama ada secara fizikal, lisan mahupun melalui media sosial tidak boleh dianggap sebagai gurauan biasa kerana perbuatan itu berpotensi meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi, kesihatan mental dan keyakinan diri mangsa.
Beliau berkata, setiap aduan berkaitan buli perlu diberikan perhatian serius oleh pihak sekolah dan tindakan sewajarnya mesti diambil bagi memastikan keselamatan serta kebajikan semua murid sentiasa terpelihara.
“Anak-anak perlu dididik supaya menghormati antara satu sama lain, mempunyai sikap toleransi dan memahami bahawa setiap individu berhak mendapat layanan yang baik tanpa mengira latar belakang atau perbezaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugasnya, Steven Kong Kai Seng pada Kejohanan Sukan Tahunan Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan 2026 di sini pada Sabtu.
Tiong berkata, aspek kesihatan mental dan kesejahteraan emosi murid juga tidak seharusnya diketepikan memandangkan mereka berhadapan dengan pelbagai tekanan, termasuk dalam pembelajaran, hubungan dengan rakan sebaya serta persekitaran keluarga.
Tegasnya, kejayaan seseorang murid tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perkembangan sahsiah, emosi dan tingkah laku turut perlu diberi perhatian.
“Perubahan tingkah laku dan emosi anak-anak perlu diperhatikan supaya sebarang masalah dapat dikenal pasti lebih awal dan bantuan sewajarnya dapat diberikan sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pihak sekolah perlu mengimbangi usaha meningkatkan pencapaian akademik dengan pembentukan sahsiah serta penjagaan kesejahteraan mental murid.
Katanya, peranan guru kaunseling juga perlu diperkukuh, termasuk melalui kerjasama dengan tenaga profesional dan agensi berkaitan mengikut keperluan bagi memastikan murid yang berdepan masalah mendapat sokongan sewajarnya.
Dalam pada itu, Tiong menegaskan bahawa ibu bapa turut mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kebajikan anak-anak sentiasa terpelihara dengan meluangkan masa mendengar luahan serta memahami cabaran yang mereka hadapi.
Beliau berkata, komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak-anak penting bagi membolehkan sebarang permasalahan dikenal pasti lebih awal, sekali gus mengelakkan mereka berasa terpinggir atau menghadapi tekanan secara bersendirian.
Mengulas kepentingan Hari Sukan Tahunan, beliau berkata program seumpama itu bukan sekadar platform untuk murid menunjukkan kebolehan dalam bidang sukan, malah berperanan membentuk disiplin, kerjasama berpasukan, keyakinan diri dan semangat kesukanan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan SK Pandan, barisan guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta semua pihak yang bekerjasama menjayakan program berkenaan.
Tiong berharap kerjasama berterusan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih positif, harmoni dan selamat demi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai sahsiah serta jati diri yang kukuh.





