KUCHING: Walaupun kasih sayang seorang bapa jarang diluahkan secara lisan, namun setiap peluh yang menitis dan usaha dilakukan adalah bukti cinta yang tidak bertepi demi kesejahteraan keluarga.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pengorbanan seorang bapa tidak terungkap dengan kata-kata kerana merekalah tunjang kekuatan sesebuah keluarga dan menjadi penyokong setia dalam setiap cabaran kehidupan.
“Seorang bapa bukan sekadar pencari nafkah tetapi juga pelindung, pembimbing, pembentuk nilai dan moral, sumber inspirasi serta pedoman utama dalam pembentukan karakter dan sikap anak-anak.
“Bapa mengajar kita tentang tanggungjawab, kesabaran, ketabahan dan kekuatan. Nasihatnya menjadi panduan hidup, sementara ketegasannya membentuk keperibadian dan daya tahan dalam kita menghadapi cabaran.
Dalam pada itu beliau berkata, kekuatan sesebuah negara bermula daripada kekukuhan institusi keluarga dengan bapa memainkan peranan penting sebagai pemimpin keluarga.
“Negara yang maju dan sejahtera berlandaskan asas keluarga yang kukuh. Dalam sesebuah keluarga yang berjaya, berdiri seorang bapa yang menjadi wira sebenar membentuk masa depan generasi anak bangsa.
“Justeru, pada hari istimewa ini, saya dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua bapa atas segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengharapkan balasan,” katanya sempena Sambutan Hari Bapa 2025, hari ini.
Tambahnya, sambutan tersebut adalah masa untuk semua mengenang jasa, menzahirkan rasa syukur serta mengungkapkan penghargaan kepada bapa yang memikul amanah berat sebagai ketua keluarga untuk memastikan kesejahteraan dan masa depan anak-anak sentiasa terpelihara.
“Sempena sambutan ini, marilah kita mengambil kesempatan untuk meluangkan masa berkualiti bersama bapa, melakukan aktiviti yang bermakna sebagai tanda penghargaan,” tegasnya.
“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Sarawak agar tidak melupakan jasa dan pengorbanan bapa. Hargailah mereka selagi hayat dikandung badan, lafazkan penghargaan dan teruskan legasi nilai-nilai murni yang telah disemai sejak dahulu.
“Kepada yang telah kehilangan bapa, kirimkanlah doa dan sedekah sebagai tanda kasih yang berpanjangan,” tambahnya.
Sambutan Hari Bapa Sedunia, yang turut diraikan di Malaysia termasuk di Sarawak pada tahun ini jatuh pada Ahad, 15 Jun. Diraikan serentak di seluruh dunia sebagai penghormatan kepada pengorbanan dan sumbangan bapa dalam kehidupan insan tersayang dan kemajuan masyarakat.

