TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar dan berkomunikasi, timbul satu persoalan penting, iaitu sama ada peningkatan penggunaan teknologi benar-benar seiring dengan tahap keselamatan digital pengguna.
Hakikatnya, kecekapan seseorang mengendalikan peranti pintar atau aplikasi terkini tidak semestinya menjamin keselamatan mereka daripada pelbagai ancaman di alam maya.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang yang juga Pengasas Prompt Academy serta Jurulatih Kecerdasan Buatan, Dr. Suhailah Mohamed Nor berkata, wujud jurang yang agak jelas antara kadar penerimaan teknologi dengan keupayaan masyarakat untuk berfikir secara kritis ketika menggunakannya.
“Manusia sangat cepat belajar menggunakan sesuatu teknologi tetapi tidak semestinya sama cepat mempelajari cara berfikir ketika menggunakannya. Kemahiran menggunakan alat tidak secara automatik menjadikan seseorang lebih kritis terhadap maklumat yang diterima.
“Situasi ini mewujudkan fenomena rasa selamat yang palsu dan amat berbahaya dalam kalangan pengguna Internet hari ini,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Kebanyakan individu jelasnya, beranggapan mereka sudah mendapat perlindungan yang mencukupi apabila menggunakan kata laluan yang kuat atau mengaktifkan ciri pengesahan dua faktor.
Walaupun sistem keselamatan teknikal berkenaan penting, sistem itu sebenarnya hanya melindungi peranti pada tahap tertentu dan tidak mampu menggantikan pertimbangan waras manusia.
“Rasa selamat palsu yang paling berbahaya ialah apabila kita mula beranggapan, ‘Saya tahu, saya berhati-hati, perkara ini tidak mungkin berlaku kepada saya’. Sistem keselamatan tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia kerana kita masih boleh menjadi orang yang membuka pintu sendiri apabila kita percaya kepada mesej yang salah.
“Penipuan siber pada masa kini semakin licik dan canggih kerana penipu tidak lagi sekadar mengeksploitasi kelemahan perisian, sebaliknya menyasarkan aspek psikologi manusia menerusi teknik kejuruteraan sosial,” jelas beliau lagi.
Menurut beliau, penipu sering kali sengaja mewujudkan rasa terdesak, mengeksploitasi unsur kewibawaan atau menimbulkan ketakutan supaya mangsa bertindak tergesa-gesa tanpa sempat berfikir secara rasional.
Sebagai contoh, katanya, hampir semua pengguna tahu bahawa kata laluan sekali guna (OTP) tidak boleh diberikan kepada orang lain. Namun, dalam situasi yang penuh tekanan dan manipulasi psikologi, ramai mangsa akhirnya menyerahkan maklumat sulit tersebut.
Justeru, beliau berkata, ancaman ini menjadi semakin serius apabila teknologi AI mula digunakan untuk menghasilkan kandungan palsu dan video palsu janaan AI (deepfake) yang kelihatan begitu realistik.
Keupayaan AI meniru suara, wajah serta gaya bahasa seseorang menyebabkan garis pemisah antara kebenaran dengan kepalsuan menjadi semakin kabur.
“Dahulu, apabila kita melihat gambar, mendengar rakaman suara atau menonton video, kita cenderung menganggap bahawa kita sedang melihat satu bukti.
“Hari ini, anggapan itu tidak lagi boleh digunakan. Kita perlu mengubah satu tabiat yang selama ini sangat biasa, daripada ‘saya nampak, maka saya percaya’ kepada ‘saya nampak, tetapi saya masih perlu semak’.
“Dalam pada itu, persepsi bahawa generasi muda yang membesar dalam persekitaran digital secara automatik lebih selamat daripada ancaman siber adalah kurang tepat.
“Walaupun golongan muda sangat mahir menggunakan pelbagai aplikasi media sosial, kebiasaan berkongsi maklumat peribadi secara terbuka mendedahkan mereka kepada risiko yang besar,” kata Dr Suhailah.
Malah, jelas beliau, perkongsian lokasi terkini, rutin harian, gambar keluarga dan maklumat sekolah secara berterusan membolehkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengembangkan cebisan maklumat tersebut untuk membina profil terperinci mengenai kehidupan mangsa.
Di samping itu, katanya, pendedahan kanak-kanak kepada Internet sejak usia yang sangat muda turut memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
Bagi memastikan golongan ini terlindung, penerapan pemikiran kritis perlu bermula sejak awal lagi supaya mereka berani mempersoalkan kesahihan maklumat yang ditemui di alam maya.
“Kanak-kanak juga perlu dididik untuk memahami kepentingan maklumat peribadi serta mengamalkan sikap terbuka dalam berkomunikasi dengan orang dewasa atau ibu bapa sekiranya mereka berhadapan dengan situasi yang menakutkan atau mencurigakan ketika melayari Internet.
“Walaupun pelbagai pihak seperti kerajaan, penyedia platform digital dan pihak sekolah memikul tanggungjawab dalam membina ekosistem digital yang selamat, institusi keluarga tetap menjadi benteng utama,” tambahnya.
Selain itu, jelasnya, ibu bapa tidak perlu menjadi pakar teknologi untuk mendidik anak-anak, sebaliknya mereka perlu sentiasa berkomunikasi, bertanya dan membantu anak-anak membuat pertimbangan yang wajar.
Hubungan berasaskan kepercayaan dalam keluarga merupakan lapisan perlindungan yang paling berkesan apabila anak-anak menghadapi sebarang masalah dalam dunia digital.
Selain itu, beliau memberitahu, Kempen Keselamatan Internet yang dianjurkan oleh agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu beralih kepada pendekatan yang lebih praktikal.
Usaha meningkatkan kesedaran tidak boleh terhenti setakat penyampaian maklumat sehala, sebaliknya perlu diperkukuh melalui latih simulasi dan pendedahan kepada situasi sebenar.
Pendekatan ini membolehkan pengguna melatih diri membuat keputusan yang tepat, sekali gus merapatkan jurang antara pengetahuan teori dengan tindakan sebenar apabila berhadapan dengan cubaan penipuan dalam kehidupan seharian.
Sekiranya seseorang menjadi mangsa penipuan dalam talian, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah menghentikan sebarang interaksi dengan penipu serta-merta dan tidak melakukan sebarang transaksi tambahan.
Mangsa perlu segera menghubungi institusi kewangan yang berkaitan untuk menyekat akaun yang terjejas, di samping menyimpan semua rekod perbualan dan tangkap layar sebagai bukti untuk membuat laporan polis.
Mangsa juga dinasihatkan supaya tidak terus berinteraksi dengan penipu dalam keadaan panik kerana mahu membetulkan keadaan. Selepas menyedari penipuan itu, perkara paling penting bukanlah menyalahkan diri sendiri atau berasa malu, tetapi bertindak dengan cepat supaya kerugian dapat dibendung.
Pada masa sama, jelasnya, konsep privasi di media sosial tidak bermakna seseorang perlu menghapuskan sepenuhnya kehadiran mereka di alam maya.
Privasi sebenarnya berkaitan dengan keupayaan seseorang untuk mengawal dan membuat pertimbangan yang wajar tentang sejauh mana maklumat peribadi boleh dikongsi dengan orang ramai.
Pengguna digalakkan untuk sentiasa menilai keperluan dan kesan perkongsian sebelum berkongsi sebarang maklumat, terutamanya yang melibatkan ahli keluarga dan anak-anak yang belum cukup matang untuk membuat keputusan sendiri.
“Secara keseluruhannya, matlamat membina masyarakat digital yang selamat memerlukan perubahan budaya daripada penggunaan teknologi yang mengutamakan kelajuan kepada penggunaan yang lebih sedar dan berhemah.
Sikap terlalu yakin terhadap pengetahuan sendiri perlu dikikis kerana penipu siber hanya memerlukan sesaat kelalaian untuk memperdayakan mangsa.
“Jangan jadikan pengetahuan kita sebagai alasan untuk terlalu yakin. Mengetahui tentang penipuan tidak bermaksud kita kebal. Kepesatan teknologi tidak sepatutnya menentukan kelajuan kita membuat pertimbangan, jadi berilah diri sendiri ruang untuk berhenti, berfikir dan menyemak,” pesan Dr Suhailah.



