ARTIKEL

Abang Johari menyampaikan ucapan pada Program SKS Bahagian Miri 2026 di Stadium Miri di sini hari ini. GAMBAR: MOHD ALIF NONI

Baram bakal muncul hab industri dan komersial baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Baram tidak lagi akan kekal sebagai kawasan pedalaman apabila ia muncul sebagai hab industri dan komersial baharu yang bakal meletakkan Miri setanding bandar moden seperti Shanghai.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan di kawasan Baram termasuk Kuala Baram akan mengubah landskap kawasan tersebut melalui pendekatan pembangunan berasaskan kejuruteraan dan perancangan jangka panjang.

Abang Johari menyempurnakan simbolik perasmian Program SKS Bahagian Miri 2026 di Stadium Miri di sini hari ini. GAMBAR: MOHD ALIF NONI

“Kita melihat pembangunan di kawasan Baram, namun terdapat kekurangan tanah di Kuala Baram.

“Oleh itu, melalui proses aliran hidraulik, sisa akan dibawa ke kawasan tersebut sehingga membentuk tanah baharu dan apabila kawasan itu terbentuk, ia akan dibangunkan sebagai kawasan perindustrian dan komersial, sekali gus mengubah landskap Kuala Baram.

“Ia menjadi satu tarikan, satu bandar kecil dengan bangunan yang premium dan kalau kita dapat bangunkan, insya-Allah Miri akan menjadi satu bandar seperti Shanghai di China,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri 2026 di Stadium Miri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan pelabuhan laut dalam yang mampu menerima kapal besar termasuk kapal persiaran akan turut memberi impak kepada sektor pelancongan di kawasan tersebut.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan kerangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) yang merangkumi enam teras utama termasuk pelancongan, sektor perkhidmatan serta industri sumber seperti perhutanan dan perlombongan.

“Industri perlombongan termasuk gas dan minyak terus menjadi fokus, dan kini kita membangunkan kawasan Adong yang dikenal pasti mempunyai potensi sumber gas.

“Sebab itu kita mahu Sarawak mempunyai penglibatan dalam industri gas dan pengedaran gas dilaksanakan oleh Sarawak sendiri,” jelasnya.

Ujarnya walaupun berdepan pelbagai cabaran, kerajaan negeri akan terus berusaha memperkukuh sektor tersebut berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Ini bukan sesuatu yang mudah, namun kita perlu melihat parameter perundangan berkaitan hak kita dan berdasarkan hak tersebut, kita akan terus memperjuangkannya berteraskan PCDS 2030,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa pembangunan Baram akan menjadi pemacu perubahan ekonomi kawasan tersebut selaras dengan peralihan landskap ekonomi global.

“Baram akan menjadi ‘game changer’ kerana landskap ekonomi kita telah berubah dan tidak lagi bergantung kepada industri kayu balak.

“Kini, ekonomi dunia beralih kepada sektor yang lebih lestari seperti perdagangan karbon, dan kita melaksanakan pendekatan ini dengan nasihat Bank Dunia serta mematuhi protokol antarabangsa,” katanya.

Dari sudut pertanian, beliau menekankan bahawa kawasan Baram turut berpotensi dalam tanaman kopi berdasarkan kajian awal yang menunjukkan kesesuaian tanah di kawasan tersebut.

“Kita akan meneroka penggunaan teknologi terkini bagi pembangunan ladang kopi serta produk pertanian lain di Baram,” jelasnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU