KUCHING: Kajian semula menyeluruh terhadap aspek keselamatan penerbangan, latihan petugas perubatan serta perlindungan insurans perlu dilaksanakan berikutan nahas helikopter perkhidmatan doktor udara di Ulu Baram yang mengorbankan lima nyawa bulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan, Baru Bian berkata tragedi itu perlu dijadikan iktibar bagi memperkukuh keselamatan perkhidmatan perubatan udara, khususnya bagi masyarakat di kawasan pedalaman yang masih bergantung kepada perkhidmatan berkenaan.
“Perkhidmatan perubatan udara kekal amat penting bagi kawasan kampung yang terpisah oleh jarak yang luas.
“Namun, terdapat kebimbangan yang dibangkitkan berhubung latihan bagi petugas perubatan yang terlibat dalam misi penerbangan, serta kecukupan pampasan dan perlindungan insurans berdasarkan risiko yang dihadapi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, Baru menyifatkan tragedi berkenaan turut menegaskan keperluan asas yang ditangani Belanjawan 2027, iaitu menghubungkan semua kampung melalui jalan raya.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas dasar berwawasan menukar semua jalan pembalakan yang tidak lagi digunakan kepada jalan negeri.
“Pada pandangan saya, inilah langkah yang tepat untuk masa hadapan.
Kampung saya sendiri, Kampung Pa’ Berunut serta penempatan masyarakat Penan di sekitar Kampung Long Adang di kawasan hulu Limbang masih bergantung kepada perkhidmatan doktor udara,” katanya.
Sehubungan itu, Baru berkata beliau telah mengemukakan cadangan pembinaan jalan raya bertaraf R3 dari penghujung SSLR Fasa I di Persimpangan Long Luping hingga ke Pa’ Berunut dan Kampung Long Adang.
Katanya, cadangan itu selaras secara langsung dengan Teras Strategik Kelima Belanjawan 2027 yang memperuntukkan RM2.27 bilion bagi rangkaian jalan utama, termasuk Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua dan Lebuh Raya Pesisir Utara.
Selain itu, katanya, RM742 juta diperuntukkan untuk jalan raya dan jambatan di seluruh negeri, termasuk Program Transformasi Jambatan Luar Bandar serta kerja tindak balas kecemasan bagi infrastruktur awam yang rosak.
“Dengan membina jalan raya kekal, kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan penerbangan dan meningkatkan tahap keselamatan secara berterusan,” katanya.

