Bas hidrogen: Langkah berani dan berwawasan Kerajaan GPS

KUCHING: Pengenalan bas hidrogen yang pertama di Sarawak bersifat mesra alam dan tidak terpengaruh dengan pasaran dunia.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, pengenalan bas yang dijana menggunakan sel hidrogen adalah tindakan berani, wajar dan berwawasan Kerajaan GPS.

“Operasi bas hidrogen tidak terpengaruh dengan harga bahan api dunia seperti yang kita hadapi sekarang.

“Maka, saya menyifatkan pendekatan diambil oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg amat berani, wajar dan berwawasan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Malah menurut Len, pengenalan bas hidrogen terbabit adalah yang pertama di Malaysia.

“Dari segi ekonomi dan kualiti alam sekitar, penjanaan bas berkenaan amat baik untuk jangka masa panjang.

“Ini berbeza dengan bas yang menggunakan janaan hidro karbon, diesel dan gas yang tidak mampan dari alam sekitar,” jelasnya.

Oleh itu, beliau berharap, rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya menyambut baik pengenalan bas hidrogen terbabit.