ARTIKEL

Abang Johari Tun Openg ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Perasmian Program Bas Sekolah Percuma dan Bilik Darjah Pintar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No. 6, di sini, hari ini. (Foto GHAZALI BUJANG)

Bas Sekolah Percuma Sarawak Kurangkan Kesesakan, Tingkat Keselamatan Pelajar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha meningkatkan kesejahteraan pelajar serta melancarkan aliran trafik bandar menerusi pengenalan perkhidmatan bas sekolah percuma di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No. 6, yang membawa pelajar dari kediaman masing-masing terus ke sekolah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama dengan wakil rakyat tempatan, dan dilaksanakan sebagai projek perintis bagi menilai keberkesanannya dalam mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, khususnya pada waktu puncak persekolahan.

“Hari ini (12 Januari), saya bersama warga SJK Chung Hua No. 6 memulakan satu pendekatan baharu dengan melancarkan perkhidmatan bas percuma untuk anak-anak sekolah ini yang membawa pelajar dari rumah masing-masing terus ke sekolah.

“Berdasarkan statistik sedia ada dan penggunaan sistem penjejakan, jumlah kenderaan yang menggunakan Jalan Stapok, lokasi dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Maong dan SJK Chung Hua No. 6, menunjukkan penurunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Perasmian Program Bas Sekolah Percuma dan Bilik Darjah Pintar di SJK Chung Hua No. 6, di sini, hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan perkhidmatan bas percuma itu turut meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap aspek keselamatan anak-anak apabila setiap bas dilengkapi sistem penjejakan.

Menurutnya, kemudahan berkenaan membolehkan komunikasi dua hala antara pelajar dan ibu bapa semasa berada di dalam bas, sekali gus memastikan tahap keselamatan sentiasa terpelihara.

“Menerusi pengenalan perkhidmatan bas pintar ini, kita melihat potensi untuk meluaskan pelaksanaannya ke kawasan lain serta menjadikannya sebagai mod pengangkutan alternatif pelajar ke sekolah.

“Selain mengurangkan keperluan ibu bapa menghantar anak ke sekolah, inisiatif ini juga membantu menjimatkan kos perjalanan harian, khususnya bagi keluarga yang menggunakan kenderaan persendirian.

“Justeru, dengan kejayaan projek ini, kita akan meluaskannya ke sekolah-sekolah lain melalui kerjasama masyarakat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Kos pembayaran dan perkhidmatan bas ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” ujarnya.

Beliau memaklumkan perkhidmatan bas berkenaan memberi tumpuan kepada kawasan bandar dan selari dengan usaha menjadikan bandar sebagai rendah karbon, di samping menyokong penggunaan pengangkutan awam yang lebih cekap dan mampan.

Sementara itu, mengenai program bas sekolah percuma Yayasan Sarawak, beliau berkata inisiatif tersebut akan diteruskan serta dipertingkatkan, khususnya di kawasan Petra Jaya, bagi memastikan pengurusan masa dan destinasi yang lebih teratur.

“Jadi kita akan mempertingkatkan perkhidmatan bas sekolah percuma Yayasan Sarawak di kawasan Petra Jaya. Ini merupakan satu eksperimen yang saya lihat sangat berkesan,” jelasnya.

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha