BasAsia sedia bawa penumpang rentas bahagian

KUCHING: BasAsia terus menawarkan perkhidmatan kepada penumpang yang ingin merentas bahagian di dalam Sarawak ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

Tukang jual tiket BasAsia Marina Kadir berkata, perjalanan bas sepanjang PKPP beroperasi seperti sediakala melibatkan beberapa bahagian di Sarawak.

“Perjalanan bas kami bermula dari Kuching, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

“Manakala waktu perjalanan bermula daripada 11.30 pagi hingga jam 10 malam berbanding sebelum PKPP dan waktu perjalanan bas bermula pada jam 7.30 pagi,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini semalam.

Bagaimanapun, Marina memberitahu ketika ini BasAsia tidak menawarkan perkhidmatan ke Pontianak berikutan arahan PKPP.

Tambahnya, tidak dinafikan harga tiket bas ketika PKPP sedikit meningkat berbanding sebelum ini.

“Sebagai contoh sebelum PKPP harga tiket bas dari Kuching ke Miri hanya RM80 tetapi kini ia ditawarkan pada harga RM109.

“Harga tiket memang ada sedikit peningkatan berbanding sebelum PKPP.

Kita tidak tahu sampai bila ia akan berlarutan seperti ini,” jelasnya sambil menambah, harga tiket bas berbeza mengikut jarak destinasi.

Marina berkata, sebelum ini maksimum jumlah penumpang bas seramai 45 orang namun kini dikurangkan kerana mengamalkan penjarakan sosial.

Walaupun masuk ke fasa PKPP, tetapi sambutan daripada penumpang bas masih seperti biasa,” katanya.

Marina berkata, mereka yang ingin balik menggunakan perkhidmatan BasAsia boleh menempah tiket melalui sistem tempahan tiket atas talian selain daripada membeli secara terus di kaunter bas.

“Apabila membeli tiket atas talian, pelanggan perlu mengisi butiran peribadi seperti yang diminta dalam sistem tempahan.

“Ia termasuk dengan mengisi nombor telefon waris untuk memudahkan kami menghubungi waris pelanggan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” jelasnya lagi.

Marina mendedahkan, pada hari pertama memulakan operasi, waktu perjalanan bas hanya pada jam 2 dan 5 petang sahaja melibatkan perjalanan ke seluruh bahagian dalam Sarawak.

Untuk rekod, perkhidmatan BasAsia mula beroperasi semula pada 4 Jun lalu selepas ditutup sementara susulan PKP yang dikuatkuasakan bermula Mac lalu.