KUCHING: Batik Air diharap dapat memulakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) ke Miri dan Sibu menjelang akhir tahun ini bagi memenuhi jangkaan peningkatan permintaan penumpang, terutama sempena musim perayaan dan pembukaan penggal persekolahan baharu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pembukaan kedua-dua laluan itu turut menyediakan lebih banyak pilihan penerbangan kepada pengguna, khususnya bagi perjalanan antara Sarawak dengan Lembah Klang.
Menurut beliau, perkhidmatan berkenaan juga dijangka mendapat permintaan tinggi sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu Cina yang akan datang.
“Saya turut mengalu-alukan langkah Batik Air memperluas rangkaian penerbangannya di Sarawak, selain menggesa syarikat penerbangan itu mempertimbangkan laluan terus dalam Sarawak yang menghubungkan Kuching dengan Miri, Sibu dan Bintulu.
“Pada masa ini, tiga laluan terus dalam Sarawak berkenaan dilayani oleh AirAsia kerana permintaan ramai mereka memang mahukan lebih banyak pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Ketua Jualan (Komersial) Batik Air, Arasu Soundarajan, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata penyertaan lebih banyak syarikat penerbangan akan memberikan pilihan kepada penumpang dari segi jadual penerbangan dan tambang, selain memperkukuh keterhubungan udara antara bandar utama di Sarawak.
Dalam pada itu, Lee berkata cadangan penerbangan Subang-Miri akan menandakan kemunculan semula Batik Air dalam pasaran Miri selepas syarikat penerbangan berkenaan menggantung perkhidmatan Kuala Lumpur-Miri pada akhir Mac lalu.
“Batik Air yang sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air pernah mengendalikan penerbangan ke Miri sebelum perkhidmatan itu dihentikan.
“Hasil rundingan Kementerian Pengangkutan Sarawak dengan pihak pengurusan Batik Air, syarikat penerbangan itu menyambung semula penerbangan terus Kuala Lumpur-Miri pada 14 Januari 2025, dengan dua penerbangan sehari sebelum dikurangkan kepada satu penerbangan sehari.
“Bagaimanapun, perkhidmatan berkenaan kemudiannya digantung susulan peningkatan kos bahan api penerbangan akibat perkembangan geopolitik global, selain kekangan ketersediaan pesawat dan armada,” jelasnya.
Dalam pada itu, Lee turut mencadangkan Batik Air mengkaji kebolehlaksanaan memperkenalkan penerbangan antarabangsa terus dari Miri ke selatan China, khususnya Guangzhou dan Shenzhen.
Jelas beliau lagi, Miri bukan sahaja mempunyai pasaran penumpang dari kawasan utara Sarawak, malah berpotensi menarik penumpang dari Brunei Darussalam berikutan kedudukannya yang berdekatan serta kadar pertukaran mata wang yang menguntungkan.
“Saya berharap hubungan rapat antara kementerian dan Batik Air dapat diteruskan, khususnya dalam meneroka peluang baharu bagi meningkatkan jaringan udara ke Sarawak,” tambahnya.
Sementara itu, Arasu berkata, cadangan laluan Subang-Miri dan Subang-Sibu kini masih menunggu kelulusan pihak berkuasa, dengan proses berkenaan dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan.
“Laluan Subang-Miri dirancang beroperasi empat penerbangan seminggu, manakala Subang-Sibu sebanyak tiga penerbangan seminggu pada peringkat awal.
“Bukan itu sahaja, Batik Air akan mengkaji cadangan laluan dalam Sarawak dan antarabangsa,” katanya.
Tambah Arasu, perkara ini termasuk kemungkinan membangunkan pasaran baharu menerusi penerbangan sewa khas berjadual dengan kerjasama agensi pelancongan.




