KUCHING: Batu Kawah berpotensi mengatasi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai kawasan pembangunan moden bersepadu pada masa depan berikutan keluasan tanah, kemudahan serta rangkaian infrastruktur yang sedang dibangunkan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berbeza dengan KLCC yang mempunyai kawasan terhad dan padat, Batu Kawah masih mempunyai ruang luas untuk berkembang seiring peluasan bandar raya Kuching.
“Batu Kawah mempunyai ciri-ciri seperti KLCC. Dengan pembangunan yang ada, mungkin KLCC pun boleh kalah dengan Batu Kawah.
“KLCC kawasan tanahnya kecil, sangat bersepadu dan padat. Batu Kawah pula mempunyai ruang serta kemudahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, potensi Batu Kawah turut diperkukuh dengan kesalinghubungan Sarawak yang semakin berkembang termasuk menerusi syarikat penerbangan Airborneo yang membolehkan negeri mengembangkan rangkaian penerbangannya sendiri.
“Kita bernasib baik kerana mempunyai AirBorneo. Kita boleh membawa orang datang melihat Batu Kawah,” ujarnya.
Tambahnya, Batu Kawah hari ini jauh berbeza berbanding dahulu apabila kawasan itu dianggap berada jauh dari pusat bandar dan lebih dikenali sebagai antara kawasan pertanian di pinggir Kuching.
“Perkembangan pesat Kuching dari Petra Jaya, Jalan Song dan Samarahan kini semakin meluas ke Batu Kawah susulan pertambahan penduduk, kawasan perumahan, pusat perdagangan dan pelaburan.
“Pertumbuhan itu turut meningkatkan jumlah kenderaan dan menyebabkan kesesakan, sekali gus memerlukan rangkaian jalan baharu untuk menyuraikan trafik.
“Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan projek pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong bernilai lebih RM200 juta bagi meningkatkan kesalinghubungan serta mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, rangkaian berkenaan bukan berdiri sendiri, sebaliknya akan dihubungkan dengan pembangunan jalan lain termasuk Jalan Matang bagi membentuk jaringan yang lebih luas di sekitar Kuching.
Selain pembangunan fizikal, beliau berkata kerajaan turut menyediakan asas kewangan jangka panjang melalui Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak untuk kepentingan generasi akan datang.
Katanya, dana tersebut tidak boleh digunakan dalam tempoh 20 tahun mengikut kerangka undang-undang yang ditetapkan bagi membolehkan nilainya berkembang dan menghasilkan pulangan pada masa depan.
TAMAT//




