KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 11,044.93 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Bahagian Samarahan berjaya diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS) setakat 11 November ini sekali gus memperkukuh pengiktirafan hak tanah masyarakat bumiputera.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 23,839.69 hektar tanah NCR yang berjaya diukur di seluruh bahagian berkenaan menerusi Program Inisiatif Baharu NCR.
“Berdasarkan rekod setakat 11 November 2026 di bawah Program Inisiatif Baharu NCR bagi Seksyen 6 KTS, tanah yang diukur di seluruh Samarahan adalah sejumlah 23,839.69 hektar atau 58,919.15 ekar, manakala yang telah diwartakan adalah sejumlah 11,044.93 hektar atau bersamaan 27,292.61 ekar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 dan Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak serta Cek Pampasan Tanah bagi Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Tambahnya, bagi pengukuran Fasa 2 Inisiatif Baharu NCR di bawah Seksyen 18 KTS, sebanyak 3,440 lot tanah individu melibatkan keluasan 3,288.41 hektar atau 8,125.83 ekar berjaya diukur di seluruh Bahagian Samarahan.
“Usaha berterusan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) itu mencerminkan komitmen agensi berkenaan untuk memastikan hak dan kepentingan masyarakat bumiputera,” ujarnya.
Sementara, majlis berkenaan menjadi platform penting untuk Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 dan Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak serta Cek Pampasan Tanah bagi Bahagian Samarahan.
Pada majlis itu, seramai 18 penerima menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, manakala 622 penerima menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 dan 33 penerima menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13; serta seramai 54 penerima turut menerima cek pampasan tanah berjumlah keseluruhan RM5,256,513.30.
Sebanyak 11 warta melibatkan 11 kampung dan kawasan diserahkan di bawah Seksyen 6 KTS, merangkumi Kampung Tambey, Kampung Tanjung Apong, kawasan Tanjung Parang/Sembawang, Kampung Emperan Buluh, Kampung Bulan, Kampung Kelait, Kampung Jeragam, Kampung Kesindu, Kampung Temiang dan Kampung Nanas.
Bagi penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 pula, ia melibatkan beberapa kawasan termasuk Kampung Mang, Kampung Sampun Tebun, Kampung Tanjung Pedada, Kampung Semera, Kampung Stok, Kampung Nangka dan Kampung Tebelu.
Sementara itu, penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 13 KTS melibatkan penduduk Kampung Moyan Laut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Raslan memberitahu sebanyak 52 projek pengambilan balik tanah dilaksanakan di Bahagian Samarahan setakat 11 November juga, melibatkan empat projek Persekutuan dan 48 projek Kerajaan Sarawak.
Jelasnya, JTS Sarawak menerima peruntukan kira-kira RM106.38 juta bagi pelaksanaan projek berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak RM80.06 juta dibelanjakan, manakala kemajuan fizikal keseluruhan projek direkodkan hampir 80.96 peratus.
Tamat




