KOTA SAMARAHAN: Isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tidak seharusnya dijadikan modal politik menjelang pilihan raya kerana Kerajaan Sarawak telah lama melaksanakan usaha pengiktirafan dan penyukatan tanah bagi melindungi hak masyarakat.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf hak pemilik tanah NCR yang dapat dibuktikan kesahihannya mengikut peruntukan undang-undang, selain meneruskan usaha penyukatan bagi memastikan hak berkenaan terus terpelihara.
Katanya, dakwaan kononnya kerajaan tidak prihatin dengan isu NCR adalah tidak berasas memandangkan usaha penyukatan tanah berkenaan dilaksanakan sejak 1960-an.

“Kerja-kerja penyukatan ini dilaksanakan sejak 1960-an hingga 2010, namun dalam tempoh lebih 50 tahun, keluasan tanah yang berjaya disukat hanya sekitar 260,000 hektar.
“Kerajaan memikirkan kaedah untuk mempercepat proses penyukatan bagi menjamin hak pemilik tanah, lebih-lebih lagi ketika pembangunan semakin rancak dilaksanakan. Sekiranya usaha ini tidak dipercepat, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 dan Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak serta Cek Pampasan Tanah bagi Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Beliau memaklumkan, bagi mempercepat usaha penyukatan tanah, Kerajaan Sarawak juga meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta tahun ini, manakala Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM2 juta bagi tujuan berkenaan.
Sementara, mengulas gelaran ‘Awang Tanah’ yang diberikan kepadanya oleh pihak tertentu di media sosial, Awang Tengah memaklumkan, beliau tidak mengambil hati dengan perkara berkenaan kerana keutamaannya ialah memastikan pemilik tanah yang mempunyai hak mendapat surat hak milik masing-masing.
Tamat






