KUCHING: Juruaudit di Sarawak perlu memperkukuh kemahiran dan keupayaan dalam bidang keselamatan siber bagi memastikan sistem digital kerajaan kekal selamat, boleh dipercayai serta dilindungi daripada ancaman baharu susulan perkembangan pesat transformasi digital.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, peranan juruaudit masa kini bukan lagi sekadar memantau dan menyemak pematuhan, sebaliknya perlu berupaya menjangkakan risiko yang muncul serta menilai keberkesanan langkah perlindungan digital.
Menurutnya, perkara itu semakin penting memandangkan Sarawak kini memperluas penggunaan teknologi digital dalam pengurusan infrastruktur awam, utiliti dan perkhidmatan penting.

“Walaupun transformasi digital meningkatkan kecekapan, ia juga memperkenalkan risiko baharu, khususnya berkaitan kerahsiaan dan keselamatan.
“Bagi menangani risiko ini, kita mesti memperkukuh kemahiran dan keupayaan juruaudit,” katanya ketika berucap pada Persidangan Jawatankuasa Audit Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Abu Bakar berkata, insiden serangan siber di Eropah yang dilaporkan menyaksikan penggodam mengambil alih kawalan peti sejuk di pasar raya sehingga menyebabkan makanan di dalamnya rosak, memberikan pengajaran bahawa peralatan harian juga tidak terkecuali daripada ancaman siber.
Katanya, dalam dunia yang semakin saling berhubung, peralatan biasa sekalipun boleh terdedah kepada serangan apabila disambungkan kepada rangkaian digital.
“Prinsip yang sama turut terpakai kepada organisasi kita. Kita mungkin mempunyai sistem penyelesaian keselamatan siber yang canggih dan berkos tinggi, namun sekiranya langkah perlindungan tersebut tidak dinilai secara berkala, organisasi kita mungkin terdedah kepada risiko tanpa disedari,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tanggungjawab menangani penemuan audit bukan hanya terletak pada juruaudit dalaman atau Jawatankuasa Audit, sebaliknya ketua jabatan perlu mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan yang dikenal pasti dan memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan.
Abu Bakar menambah, ia selaras dengan pendekatan Perkhidmatan Awam Sarawak yang akan beralih sepenuhnya kepada sistem penyampaian perkhidmatan berpaksikan rakyat dengan memastikan setiap program dan projek memberikan impak nyata serta hasil yang dapat dirasai secara langsung oleh setiap lapisan masyarakat.
“Kita tidak boleh lagi hanya mengukur kejayaan berdasarkan output atau jumlah perbelanjaan, sebaliknya kita perlu memastikan program dan projek yang dirancang serta dilaksanakan benar-benar membawa perubahan positif dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, katanya Garis Panduan Penilaian Outcome Program dan Projek Pembangunan Sarawak telah diperkenalkan sebagai instrumen kawalan dan penanda aras bagi menilai keberkesanan pelaksanaan program serta projek yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.






