KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan cadangan Persekutuan Persatuan Cina Sarawak berkaitan urusan pengambilan pekerja asing serta dasar imigresen bagi kemasukan tenaga profesional selepas memperoleh mandat baharu.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau tidak dapat memberikan kata putus terhadap cadangan berkenaan memandangkan kerajaan negeri belum mempunyai mandat sehingga 12 Disember ini.
“Saya tidak dapat membuat sebarang keputusan sekarang, bagaimanapun, saya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak persatuan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan Jawatan Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sarawak (2025–2028) di Hotel Sheraton, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Presiden persatuan berkenaan, Datuk Seri Richard Wee mengemukakan tiga cadangan kepada Kerajaan Sarawak, iaitu menukar status tanah sekolah daripada pertanian kepada kegunaan pendidikan, mengurangkan bayaran permohonan pekerja asing serta mempermudah prosedur permohonan permit kerja, dan mengkaji dasar imigresen bagi kemasukan tenaga profesional.
Mengenai cadangan pertama, beliau berkata, masih terdapat banyak sekolah di seluruh Sarawak, khususnya sekolah Cina, yang beroperasi di atas tanah berstatus pertanian dan isu syarat hak milik tanah berkenaan masih belum diselesaikan.
Bagi cadangan kedua, Richard berkata, Sarawak masih memerlukan pekerja asing dalam beberapa sektor termasuk pembinaan, perladangan, pembantu rumah dan penjagaan warga emas bagi membantu mengatasi kekurangan tenaga kerja.
Bagi cadangan ketiga, beliau mencadangkan supaya dasar imigresen Sarawak dikaji secara berkala berdasarkan keperluan tenaga profesional dalam bidang seperti kejururawatan, perubatan dan kejuruteraan.
“Besar harapan agar Kerajaan Sarawak dapat memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap ketiga-tiga cadangan tersebut yang seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta melangkah bersama dalam perjalanan membina negara,” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan Majlis Pelantikan Jawatan Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sarawak (2025–2028) bagi barisan kepimpinan, wanita dan pemuda.
Hadir sama ialah Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.





