MUKAH: Seramai 12 penjaja MyKiosk di ruang legar Medan Mall Mukah dipindahkan sementara ke Lorong Setiaraja selama dua minggu berikutan kerja pembersihan dan pengecatan yang bermula 2 November lalu.
Usahawan air balang, Fabian Laberi, berkata lokasi baharu itu tidak jauh daripada tapak asal dan membolehkan mereka meneruskan operasi perniagaan seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, pemindahan sementara itu tidak menjejaskan aktiviti jualan kerana semua penjaja masih ditempatkan di kawasan berhampiran Medan Mall.
“Langkah ini perlu dilakukan berikutan kedudukan MyKiosk yang terlalu hampir dengan lokasi kerja pembersihan dan mengecat.
“Setakat ini, sambutan terhadap tapak sementara amat menggalakkan, lebih-lebih lagi kerana lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.
Pemindahan itu juga bertujuan mengelakkan sebarang risiko kepada penjaja serta pelanggan sepanjang kerja penyelenggaraan bangunan berkenaan dijalankan.
Selepas kerja tersebut selesai, semua penjaja dijangka dibenarkan kembali ke lokasi asal untuk meneruskan operasi seperti biasa.
MyKiosk yang diperkenalkan menerusi inisiatif Kerajaan MADANI di seluruh negara itu mula diwujudkan di ruang legar Medan Mall Mukah pada 2023.
Sebelum kemudahan berkenaan disediakan, penjaja di kawasan itu menjalankan perniagaan menggunakan kanopi bagi menempatkan aktiviti jualan masing-masing.






