MELAKA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA dijadikan pusat latihan e-sukan untuk anak muda.
Langkah itu bertujuan memperkukuh industri berkenaan, melahirkan lebih ramai pemain bertaraf antarabangsa dan mewujudkan ekosistem kandungan e-sukan tempatan.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menyatakan hasrat untuk menjadikan e-sukan sebagai industri, perusahaan, bidang ilmu dan bidang pendidikan, malah sudah berbincang dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membuka peluang kepada anak muda di seluruh negara.
Menurut Bernama, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata kursus e-sukan peringkat sijil akan dipertingkat ke peringkat diploma, manakala Universiti Kuala Lumpur bersedia menjadi lokasi pengajian peringkat ijazah supaya hobi itu turut menjana pendapatan.
Menyentuh pencapaian pemain negara, Ahmad Zahid berharap lebih ramai peserta Malaysia menjuarai kejohanan antarabangsa susulan kejayaan Selangor Red Giants (SRG) membawa pulang hadiah bernilai USD1 juta pada Julai 2024, apabila menewaskan Falcons AP.Bren dari Filipina 4-3 pada perlawanan akhir Mid Season Cup Mobile Legends: Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi.






