SIBU: Kesiapsiagaan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melaksanakan tugas keselamatan di Pos Platun Taktikal Merirai, Batalion 10 PGA menjadi tumpuan lawatan kerja rasmi Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai, pada 7 hingga 9 November lalu.
Menurut kenyataan Briged Sarawak PGA, lawatan selama tiga hari itu bertujuan memantau pelaksanaan operasi, situasi keselamatan serta tahap kesiapsiagaan anggota di kawasan tanggungjawab pos berkenaan.
Ketibaan Lim disambut Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA, Superintendan Yusuf Baki Khan, bersama Penolong Pegawai Pemerintah, DSP Steeve Langie, serta barisan pegawai kanan dan anggota bertugas.
Sejurus tiba, beliau menandatangani Buku Lawatan sebelum menerima taklimat tentang kawasan tanggungjawab Pos Platun Taktikal Merirai yang disampaikan ASP Awang Jaafar Bahagia Awang Salihin.
Lim kemudian memeriksa aset kerajaan di pos berkenaan sebelum meneruskan lawatan ke tapak Latihan Dalam Perkhidmatan di Sungai Sepinying bagi meninjau pelaksanaan latihan anggota.
Sepanjang lawatan itu, beliau turut meluangkan masa bersama pegawai dan anggota yang menjalani latihan serta bermalam di tapak berkenaan dari 7 hingga 9 November.
Pada 8 November, delegasi turut mengadakan program kepolisan komuniti (Community Policing) di Rumah Panjang Kiruh, Entuluh, bagi mengeratkan hubungan antara pasukan keselamatan dengan masyarakat setempat.
Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan mencerminkan komitmen kepimpinan Briged Sarawak PGA dalam memastikan kesiapsiagaan operasi dan kecekapan anggota sentiasa berada di tahap terbaik, selain memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat.






