KUCHING: Seorang wanita tempatan didenda RM4,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana terlibat dalam aktiviti judi tiket loteri haram.
Tristy, 36, yang bekerja sebagai pembantu kedai mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah DK Afigah Alya AK Johari @ PG Johari.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kedai makan di Siburan, sekitar jam 6.45 petang pada 1 November lepas.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, dalam Op Dadu, sepasukan polis menyerbu sebuah kedai makan kerana dipercayai terdapat aktiviti penjualan tiket loteri awam tanpa lesen.
Semasa serbuan itu, polis menahan seorang wanita kerana disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian menggunakan telefon bimbit.
Tertuduh ditahan bersama barang rampasan iaitu sebuah telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM20.
Hasil siasatan mendedahkan laporan pakar judi mengesahkan telefon bimbit tertuduh mengandungi angka loteri awam tidak berlesen.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Radhiah Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






