ARTIKEL

50 pokok ditanam di Taman Negara Santubong untuk makanan enggang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 50 batang pokok spesies terpilih ditanam di Taman Negara Santubong bagi memperkayakan sumber makanan hidupan liar, khususnya burung enggang yang menjadikan kawasan itu habitat semula jadi.

Timbalan Pengarah Hutan Sarawak, Happysupina Sait berkata, spesies yang ditanam termasuk Ficus, Kumpang, Dabai dan Kasai dipilih khusus untuk menyediakan sumber makanan kepada hidupan liar.

“Walaupun jumlah penanaman itu tidak besar, inisiatif berkenaan membawa matlamat penting dalam memperkayakan sumber makanan burung enggang dan hidupan liar lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penanaman Pokok Bersempena Sambutan Hari Enggang Kebangsaan 2026 di Taman Negara Santubong di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha berkenaan turut menyokong Kempen Penghijauan Sarawak yang diteruskan dengan sasaran penanaman 50 juta pokok bagi tempoh 2026 hingga 2030, selaras dengan inisiatif Penghijauan Malaysia 2.0.

“Kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada jumlah pokok yang ditanam, malah turut menitikberatkan pemilihan spesies bersesuaian bagi menyokong biodiversiti dan kelestarian ekosistem hutan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yayasan Sime Darby (YSD) terus menyokong usaha pemuliharaan burung enggang menerusi Program Pemuliharaan Enggang.

Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr Yatela Zainal Abidin berkata, program itu dilaksanakan bersama Gaya sejak 2021 dengan sokongan berjumlah hampir RM2.6 juta melalui tiga fasa projek.

Menurutnya, kerjasama itu menumpukan usaha melindungi burung enggang daripada ancaman kehilangan habitat, tapak bersarang dan sumber makanan.

Jelasnya, burung enggang bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan dan warisan Sarawak, malah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan hutan sebagai penyebar benih yang menyokong kelangsungan biodiversiti serta keseimbangan ekosistem.

“Justeru, pemulihan habitat ialah usaha jangka panjang untuk melindungi biodiversiti dan memastikan alam semula jadi terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

BERITA LAIN

Projek mega perlu utamakan kesejahteraan rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan projek mega dan bangunan berskala besar perlu mengutamakan kesejahteraan awam supaya tidak mengecewakan rakyat. Beliau menyampaikan

BERITA TERBARU