MELAKA: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu akur kepada desakan politik supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.
Loke menjelaskan bahawa hanya Perdana Menteri yang berhak menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang pembubaran Parlimen.
Menurut beliau, Anwar yakin masih memiliki mandat serta sokongan mencukupi di Parlimen, dengan baki tempoh mandat selama setahun lagi.
Beliau menjawab pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Batu Berendam apabila ditanya tentang desakan membubarkan Parlimen berbanding merombak Kabinet, susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang tamat pada 11 Dis ini seperti dilapor Bernama.
Loke menegaskan DAP kekal menyokong penuh Anwar sehingga tamat penggal walaupun beliau melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan, lalu menyifatkan desakan itu sebagai permainan politik dan menasihati rakan sekutu yang tidak sehaluan supaya menarik balik sokongan sahaja.






