ARTIKEL

Taufiq Johari mengumumkan kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi atlet acara berpasukan, hari ini.

Insentif Emas Berpasukan Naik RM40,000 Selepas 24 Tahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ganjaran pingat emas bagi atlet acara berpasukan dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dinaikkan 166.67 peratus daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang, sekali gus mencatat kenaikan pertama dalam tempoh 24 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kadar baharu yang diluluskan Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam turut menyaksikan ganjaran pingat perak meningkat daripada RM8,000 kepada RM20,000, manakala gangsa daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.

“Dalam sukan berpasukan, tiada pingat dimenangi seorang diri. Setiap pemain berlatih, berkorban dan berjuang sama hebat dengan juara individu, dan mereka wajar dihargai dengan setimpal.

“Kenaikan ini adalah tanda penghargaan kerajaan kepada atlet acara berpasukan yang telah mengharumkan nama negara sepanjang 2026 dan suntikan semangat buat mereka menjelang Sukan SEA 2027 di tanah air,” katanya pada sidang media insentif SHAKAM, hari ini.

Menurut beliau, penambahbaikan itu melibatkan pemenang pingat acara berpasukan pada Sukan Asia, Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel, dengan kadar ganjaran sama diberikan kepada setiap atlet tanpa mengira jumlah anggota dalam pasukan.

“Kadar tersebut akan dilaksanakan bagi tiga temasya 2026, iaitu Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya,” katanya.

Beliau menjelaskan, peningkatan itu merupakan semakan pertama kadar ganjaran acara berpasukan sejak ditetapkan pada 2002, sekali gus memberikan pengiktirafan lebih tinggi terhadap sumbangan atlet dalam kejayaan negara.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, penambahbaikan berkenaan melibatkan peruntukan tambahan RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR).

“Peruntukan ganjaran keseluruhan bagi ketiga-tiga temasya 2026 meningkat daripada RM4.26 juta kepada RM5.41 juta, manakala jumlah pembayaran SHAKAM tahun ini mencapai RM6.69 juta,” ujarnya.

Jumlah berkenaan merupakan bayaran kedua tertinggi sejak SHAKAM diperkenalkan pada 1986, mencerminkan peningkatan penghargaan kerajaan terhadap pencapaian atlet negara di pentas antarabangsa.

Seramai 66 atlet daripada 10 pasukan pemenang pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal menerima bayaran tambahan hasil pelaksanaan kadar baharu berkenaan.

Antara sukan terlibat ialah sepak takraw menerusi pingat emas regu berpasukan dan perak regu, selain skuasy yang meraih emas berpasukan lelaki serta wanita.

Turut menerima manfaat ialah hoki melalui pingat perak lelaki, berbasikal trek bagi acara pecut berpasukan wanita serta karate menerusi gangsa kata berpasukan lelaki.

Bagi sukan elektronik, ganjaran tambahan turut melibatkan pasukan yang meraih pingat perak dalam Honor of Kings serta gangsa menerusi Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang.

<-TAMAT->

BERITA LAIN

Sarawak Rangka Pelan Trafik Bersepadu Hingga 2030

KUCHING: Kerajaan Sarawak merangka pelan trafik bersepadu hingga 2030 bagi menyuraikan kesesakan, membuka kawasan pembangunan baharu serta memastikan pertumbuhan perumahan dan sekitarnya disokong rangkaian jalan

BERITA TERBARU

Sarawak Rangka Pelan Trafik Bersepadu Hingga 2030

KUCHING: Kerajaan Sarawak merangka pelan trafik bersepadu hingga 2030 bagi menyuraikan kesesakan, membuka kawasan pembangunan baharu serta memastikan pertumbuhan perumahan dan sekitarnya disokong rangkaian jalan