ARTIKEL

Abang Johari berucap pada majlis pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di Kuching, hari ini. | Foto: Mohd Alif Noni

PRU Sarawak Ke-13: Abang Johari beri bayangan Dr. Sim kekal di Batu Kawah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian akan kekal mempertahankan kerusi Batu Kawah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

Bagaimanapun, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menegaskan pengesahan rasmi calon hanya akan dibuat menjelang hari penamaan calon pada 28 November ini.

“Ya, saya beri bayangan dahulu, senarai muktamad calon kita hanya sahkan menjelang hari penamaan calon,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau secara terbuka menyatakan hasrat supaya Dr. Sim terus mewakili Batu Kawah bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.

Malah, beliau menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan mengekalkan penyandangnya sebagai wakil rakyat serta menolak simbol roket yang merujuk kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Saya Pengerusi GPS dan saya sudah berbincang. Wakil rakyat Batu Kawah mesti Dr. Sim.

“Sarawak sudah berubah, tetapi jangan tukar Dr. Sim supaya DUN ini boleh terus menikmati manfaat daripada pembangunan yang akan terus kita laksanakan,” ujarnya.

Dr. Sim mula menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya Sarawak 2016, sekali gus merampas kerusi berkenaan daripada DAP.

Beliau kemudian mempertahankan Batu Kawah pada pilihan raya Sarawak 2021 atas tiket GPS dengan memperoleh 7,827 undi dan majoriti 5,393 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang Dr Kelvin Yii daripada DAP, Chai Kueh Khun daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Fong Pau Teck daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Dalam pada itu, Abang Johari turut memberi bayangan bahawa penyandang Kota Sentosa, Wilfred Yap; penyandang Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang dan penyandang Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing turut dikekalkan pada PRU Sarawak Ke-13.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada lebih banyak nama bakal calon akan diumumkan pada Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan datang, Abang Johari berkata perkara itu bergantung kepada keadaan.

“Tunggulah. Kenapa hendak tergesa-gesa sangat?” katanya sambil menegaskan senarai calon GPS akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember bagi PRU Sarawak Ke-13.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU