KUCHING: Kerajaan Sarawak merangka pelan trafik bersepadu hingga 2030 bagi menyuraikan kesesakan, membuka kawasan pembangunan baharu serta memastikan pertumbuhan perumahan dan sekitarnya disokong rangkaian jalan raya yang lebih sistematik.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan itu dibuat berasaskan data, unjuran pertumbuhan penduduk serta simulasi pembangunan bagi menentukan lokasi kawasan perumahan baharu dan keperluan rangkaian jalan pada masa depan.
“Kita sudah mempunyai data dan perancangan hingga 2030. Kita buat simulasi untuk melihat di manakah kawasan perumahan baharu akan berkembang dan kawasan itu mesti dihubungkan dengan infrastruktur jalan raya yang baik.

“Kita sudah mempunyai pelan induk di bawah Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah dan projek di kawasan ini adalah antara sebahagian daripadanya,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa-Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.
Jelasnya, pelan itu akhirnya akan membentuk corak pembangunan bandar yang lebih seimbang dengan mengurangkan tumpuan penduduk dan trafik di kawasan tertentu, selain menghubungkan pusat pertumbuhan baharu dengan bandar secara lebih efisien.
Menurutnya, strategi itu tidak hanya tertumpu kepada pusat bandar Kuching, sebaliknya melibatkan jaringan lebih luas termasuk Siburan yang akan dihubungkan ke Samarahan melalui laluan baharu serta hubungan dari kawasan Munggu Kopi, Serian ke Gedong.
“Apabila kita menyuraikan pembangunan, kita membuka kawasan baharu dan kawasan perumahan juga akan bertambah.
“Ini membolehkan kita membangunkan kawasan kediaman yang masih dekat dengan Kuching tetapi mempunyai kesalinghubungan infrastruktur yang baik,” ujarnya.
Abang Johari berkata, pendekatan itu turut dapat mengurangkan tekanan terhadap kawasan yang kini mempunyai kepadatan penduduk tinggi termasuk Segedup dan Batu Kawah.
“Pembangunan baharu akan dilaksanakan secara berperingkat kerana sebahagian laluan melibatkan kawasan yang masih belum dibangunkan.
“Kalau tidak ada jalan, bagaimana kita hendak membuka kawasan baharu?” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Petra Jaya turut dimasukkan dalam perancangan bersepadu berkenaan melalui rangkaian Jalan Matang yang akan diteruskan sehingga kawasan Telaga Air.
Selain itu katanya, pembangunan jalan Bako-Buntal akan membuka lebih banyak kawasan baharu berhampiran Darul Hana, sekali gus memberi ruang untuk peluasan kawasan penempatan.
“Yang penting, kawasan-kawasan ini nanti berada dalam lingkungan kira-kira 30 minit perjalanan.
“Kita akan mempunyai jalan dalaman dan jalan lingkaran supaya pergerakan penduduk lebih mudah dan kawasan baharu tidak terlalu jauh dari bandar,” katanya.
Tambahnya, penyediaan jalan mesti mendahului pertumbuhan kawasan baharu kerana kesalinghubungan menjadi asas kepada pembangunan perumahan serta aktiviti ekonomi.
TAMAT//





