MIRI: Taktik sekumpulan lelaki menyasarkan kabel di kawasan kurang menjadi tumpuan orang ramai terbongkar selepas empat suspek ditahan polis berhubung enam kes kecurian yang menyebabkan kerugian dianggarkan RM148,500 di sekitar Batu Niah.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penahanan empat lelaki berusia antara 32 hingga 47 tahun itu membolehkan polis menyelesaikan enam kes curi kabel yang dilaporkan sejak awal September hingga penghujung Oktober lalu.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima enam laporan polis berkaitan kejadian tersebut sebelum menjalankan siasatan dan risikan bagi mengesan suspek.
“Hasil maklumat yang diperoleh di lokasi kejadian serta risikan berterusan, sepasukan anggota Balai Polis Batu Niah berjaya menahan dua lelaki warga asing berusia 37 dan 47 tahun di kawasan Sepupok, Batu Niah pada 26 Oktober lalu, kira-kira 11.10 malam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan berusia 32 dan 36 tahun yang dipercayai rakan sejenayah mereka.
Kedua-dua lelaki itu ditahan pada 31 Oktober lalu, kira-kira 12.20 tengah hari di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rambai, Bekenu.

“Susulan penahanan keempat-empat suspek, polis dibawa ke sebuah premis barangan lusuh di Batu Niah Town District, Miri sebelum pemeriksaan menemukan tiga guni mengandungi kabel tembaga yang dipercayai hasil kegiatan kecurian,” katanya lagi.
Mengulas modus operandi kumpulan itu, Mohd Farhan berkata, suspek dipercayai melakukan tinjauan terlebih dahulu sebelum menyasarkan kabel di lokasi yang kurang menjadi tumpuan orang ramai.

Katanya, kabel yang dipotong akan dikumpulkan sebelum dijual kepada pihak tertentu.
Menurutnya, enam kes yang berjaya diselesaikan itu melibatkan empat lokasi berbeza di kawasan Suai, Batu Niah serta dua lagi lokasi di Sepupok, Batu Niah.
“Kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan mencuri dan merosakkan harta awam kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan kemudahan asas serta kepentingan masyarakat.
“Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kegiatan mencuri, merosakkan atau membeli harta awam yang diperoleh daripada kegiatan jenayah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menyimpan barangan yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tersebut diminta menghubungi IPD Miri di talian 085-432533 atau mana-mana balai polis berhampiran.





