KUCHING: Atlet olahraga kelahiran Sarawak, Danea Humairah Sharyman Sufry dinobatkan sebagai penerima Anugerah Srikandi Sukan – pengiktirafan tertinggi kategori wanita pada Majlis Apresiasi Sukan Kolej Komuniti 2025 (ASKK2025) di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Pelajar Sijil Teknologi Seni Bina Kolej Komuniti Kuching (KKKG) itu menerima pengiktirafan berprestij berkenaan atas pencapaian cemerlang, konsistensi dan disiplin tinggi dalam sukan olahraga sepanjang 2025.

Danea berkata, kejayaan tersebut menjadi penghargaan bermakna pengorbanannya sejak mula berkecimpung dalam sukan olahraga ketika berada di tahun tiga sekolah rendah.
“Saya mula melibatkan diri dalam acara olahraga sejak tahun tiga hingga sekarang. Saya perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dengan latihan supaya kedua-duanya berjalan seimbang.
“Saya amat bersyukur kerana terpilih menerima Anugerah Srikandi Sukan Kolej Komuniti Malaysia. Pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras dan meningkatkan prestasi pada masa hadapan,” katanya.
Menurut Danea, kejayaan itu bukan hasil usahanya semata-mata, sebaliknya turut didorong bimbingan jurulatih, kerjasama rakan sepasukan serta sokongan keluarga yang sentiasa hadir memberikan semangat setiap kali beliau menyertai kejohanan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas peluang mewakili negeri dalam sukan olahraga, selain pihak KKKG dan pensyarah yang memahami komitmennya sebagai atlet serta pelajar.
Sokongan berterusan itu membolehkannya mengimbangi tuntutan akademik dan latihan, sekali gus membuktikan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut berupaya mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.
Dalam majlis sama, Kolej Komuniti Pasir Gudang turut meraih dua pengiktirafan menerusi atlet kanu, Montoya Raw anak Michael yang menerima Anugerah Wira Sukan.
Seorang lagi pelajar kolej berkenaan, Ammer Aiman Mohd Fauzi pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wira Harapan atas pencapaiannya dalam sukan golf.
Majlis anjuran Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Abdul Razak Sabtu.
Penganjuran tersebut bertujuan menghargai kecemerlangan atlet, jurulatih, pengurus pasukan dan individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan kolej komuniti di seluruh negara.
MASKOM menerusi penganjuran ASKK2025 terus komited memperkukuh budaya kecemerlangan sukan, selain menjadikan kolej komuniti sebagai platform melahirkan bakat baharu yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
<-TAMAT->




