BAU: Bau bakal mempunyai pusat konvensyen mini yang dinamakan Pusat Kebudayaan Bidayuh (BCC) dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, berkata projek bernilai RM9 juta di bawah Projek Rakyat itu kini mencapai 80 peratus, memasuki fasa akhir dengan kerja-kerja menumpukan kepada sentuhan terakhir.
Katanya, pusat berkenaan akan menempatkan dewan utama, kantin harian, bilik mesyuarat, ruang pameran dan galeri dengan reka bentuk diinspirasikan daripada ‘baruk tradisional’ sekali gus menjadikannya mercu tanda ikonik di Bau.

“Pusat ini boleh menampung seminar, konvensyen dan pelbagai acara lain, seterusnya menjadi hab acara untuk Bau yang semakin pesat membangun dan terletak strategik berhampiran Kuching,” katanya selepas melawat tapak projek itu, hari ini.
Henry yang juga ADUN Tasik Biru berkata, pusat berkenaan akan diuruskan oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) sebaik siap kelak.
Beliau berkata, projek itu bukan sahaja menyediakan ruang penganjuran acara dan aktiviti, malah menyokong pembangunan sosioekonomi Bau.
Selain itu, katanya, beberapa projek lain akan dilaksanakan, termasuk menaik taraf Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bau dan Pejabat Majlis Bau dengan peruntukan masing-masing RM25 juta dan RM20 juta.
“Semua projek ini sedang berjalan…ini bermaksud lebih banyak transformasi dan mercu tanda baharu bakal dibangunkan di Bau,” katanya.

