LONDON: Bayi pertama dengan DNA daripada tiga orang dilahirkan di United Kingdom (UK) selepas satu prosedur khas IVF, kata pengawal selia kesuburan, lapor Agensi Berita Jerman (Dpa).
Menurut laporan, Pihak Berkuasa Persenyawaan dan Embriologi Manusia (HFEA) mengesahkan kurang daripada lima bayi dilahirkan di UK selepas rawatan pendermaan mitokondria (MDT) setakat 20 April tahun ini.
HFEA tidak memberikan butiran lanjut untuk mengelakkan keluarga daripada dikenal pasti, lapor The Guardian selepas menerima maklumat daripada permintaan kebebasan maklumat.
Matlamat rawatan adalah untuk mengelakkan wanita menyebarkan gen yang rosak dalam mitokondria dan menghalang kanak-kanak mewarisi keadaan itu.
Teknik itu melibatkan pemberian bayi IVF kepada seorang wanita dengan DNA daripada tiga individu.
Bayi itu mempunyai DNA nuklear daripada ibu dan bapanya, yang menentukan ciri-ciri utama seperti personaliti dan warna mata.
Britain menjadi negara pertama di dunia yang membenarkan terapi penggantian mitokondria secara rasmi apabila HFEA memberi kebenaran berhubung prosedur itu pada 2017. – Bernama






