ARTIKEL

BAYI KUNING susu ibu rawatan semula jadi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Bayi kuning atau jaundis menjadi perkara biasa yang dialami oleh bayi baru lahir. 

Bagaimanapun, ia berisiko mendatangkan bahaya kepada kesihatan bayi apabila bacaan kuning mencapai tahap tinggi. 

Perunding Pediatrik dan Pakar Laktasi Pusat Rawatan Pakar Kanak-kanak, Dr Hairin Anisa Tajuddin dalam kenyataan berkata, penyakit kuning atau jaundis neonatal biasanya menyerang bayi pada minggu pertama kelahiran.

Menurut Dr Hairin, HbF dihasilkan dan diperlukan bayi ketika dalam kandungan ibu. 

Selepas dilahirkan HbF tidak lagi diperlukan dan diganti dengan hemoglobin A (HbA) atau hemoglobin dewasa yang berfungsi membawa dan melepaskan oksigen dengan lebih baik berbanding HbF. 

Namun, dalam beberapa keadaan terdapat bayi yang lebih berisiko untuk terkena jaundis. Antaranya bayi pramatang iaitu bayi dilahirkan sebelum 37 minggu kehamilan. 

SUSU IBU

Selain itu, bayi yang tidak mendapat susu ibu atau susu formula mencukupi juga menyebabkan anak mudah terkena demam kuning.

Sebagai cara untuk mengatasi jaundis, ibu disarankan melakukan penyusuan eksklusif dengan kerap.

Sekiranya bekalan susu ibu tidak mencukupi, pemberian susu formula sebagai tambahan akan dicadangkan. 

Menurut Dr Hairin, teknik penyusuan yang tidak betul menyebabkan bayi kurang mendapat susu. Maka ia cenderung menerima kurang lemak dan tenaga yang menyebabkan jaundis fisiologikal bertambah teruk.

Kajian mendapati ibu yang tidak menyusukan bayi dengan teknik yang betul menyebabkan berat badan bayi tidak bertambah selepas dilahirkan.

Ini kerana, bayi kurang menyusu menyebabkan lemak kurang masuk ke dalam badan dan bilirubin tidak dapat dibuang melalui najis, menyebabkan jaundis bertambah teruk.

Pada masa yang sama, pasti ramai para ibu yang mendengar pelbagai petua tradisional untuk mengurangkan masalah kuning.

Antara yang menjadi ikutan termasuk pemberian susu kambing kepada bayi selain menjemur bayi di sudut rumah yang dimasuki sedikit cahaya matahari serta menyapu atau memandikan bayi dengan herba.

Bagaimanapun, ia mungkin boleh menyebabkan keadaan lebih memudaratkan, malah mungkin mendatangkan risiko lain kepada bayi terbabit.

Rawatan umum yang diberikan iaitu fototerapi bergantung kepada paras bilirubin dalam darah mengikut carta yang disediakan.

Ada yang hanya memerlukan sehari dan ada yang lebih.

LAMPU BIRU

Fototerapi bertujuan meningkatkan pembuangan bilirubin dari darah. Jika kadar bilirubin dalam darah masih tinggi, maka rawatan terakhir yang perlu dilakukan ialah penukaran darah, namun kaedah ini jarang dibincangkan.

Bayi dibaringkan di bawah lampu biru dan kulitnya dibiarkan terdedah.

Cahaya mengubah bilirubin menjadi bentuk yang mudah dikeluarkan dari badan.

Selain itu, antara rawatan lain yang diberikan kepada bayi kuning ialah penambahan cecair. Kehilangan cecair (dehidrasi) menyebabkan kadar bilirubin meningkat. 

Rawatan pemindahan darah pula hanya dilakuakn ketika kecemasan. 

Darah bayi diganti dengan darah daripada penderma untuk menurunkan bilirubin pada kadar lebih cepat.

Selain itu, rawatan Imunoglobulin intravena (IVIg) juga boleh digunakan.

Rawatan IVIG digunakan jika bayi berdepan masalah ketidaksesuaian darah.

IVIg menyekat antibodi yang menyerang sel darah merah dan mengurangkan keperluan pemindahan darah. 

Justeru, para ibu harus peka dengan tahap jaundis yang menyerang bayi anda.

Demam kuning yang tidak terkawal menyebabkan kesan yang lebih teruk terhadap bayi sehingga boleh menyebabkan kecacatan otak jika lewat dirawat atau jangkitan kuman.

Organ hati bayi baru lahir masih lagi baharu dan berfungsi dengan perlahan, jadi jangan jadikan bayi anda bahan percubaan untuk petua tertentu.

Malah, ibu yang berpantang juga dilarang memakan pelbagai jenis tambahan ubatan jamu atau herba kerana bimbang ia boleh meningkatkan risiko demam serta membuatkan kulit anak semakin kering.

Sayangilah bayi anda dan sentiasa rujuk pakar untuk perkembangan kesihatan bayi.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha